Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Trend menjadi pempengaruh atau content creator sudah menjadi keutamaan bagi individu yang obses ke arah itu, bukan sahaja di negara kita, malah seluruh dunia.
Ini kerana mereka menginginkan kemewahan hasil daripada kandungan video yang dimuat naik di media sosial.
Dengan itu ramai yang bercita-cita untuk menjadi seorang pempengaruh di media sosial dan mengabaikan pendidikan kerana merasakan pempengaruh tidak memerlukan kelayakan akademik.
Namun, bagi content creator, Izmer Mustapha atau lebih dikenali sebagai Abe La Senok Perut, dia berkata bagi anak muda yang ingin menjadi pempengaruh atau content creator perlu mengutamakan pendidikan.
Dia membuat kenyataan itu di laman Facebooknya selepas memuat naik gambar tangkap layar di Tiktok dengan mengikut trend keputusan peperiksaan dari sekolah rendah hingga ke menara gading.

Tangkap layar itu menunjukkan keputusan cemerlang Abe La dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) iaitu dengan memperoleh 5A, Penilaian Menengah Rendah (PMR), 9A, memperoleh 15A1 dan 1A2 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan dinobatkan sebagai pelajar terbaik di Kelantan, seterusnya melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Biotech/Microb (Minor) di Pennstate, Amerika Syarikat, meneruskan pengajian di peringkat Master dalam bidang Biotech di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Jeli dan melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah namun tidak berdaftar disebabkan kekawangan kewangan.
“Trend terbaru di socmed sekarang. Lagu Rahsia Tuhan sambil menyenaraikan keputusan UPSR,PMR, SPM, universiti hingga pekerjaan sekarang. Menarik kandungan begini sebab dia tunjukkan realiti hidup tidak seperti kita rancang.
“Yang menariknya rata- rata bermula biasa sahaja dan berakhir dengan menjadi orang berjaya. Kandungan begini sangat memberikan empowering dan refreshing sebab memberikan harapan kepada orang ramai untuk tidak putus asa terutama dalam kalangan anak GENZ dan GENY ini yang berdarah panas.

“Dalam isu ini saya hendak selitkan bab pendidikan dan content creation/Influencing,”katanya dalam kenyataan.
Menurutnya bagi mereka yang mempunyai latar akademik yang baik, sekaligus akan menghasilkan kandungan yang berilmiah.
“Dengan pendidikan dan ilmu yang cukup, ia merujuk kepada semua usaha untuk mendapatkan ilmu dengan institusi berdaftar, universiti, sekolah, kelas,tutorial, seminar, coaching. Tidak fokus pada pencapaian akademik semata.
“Jadi mereka akan cakna dengan sensitiviti setempat, menghasilkan kandungan yang bernilai dan beradab, bijak dalam menghadapi kecaman, pandai menguruskan kewangan, boleh bina pasukan yang progresif dan sebagainya.
“Namun jika seseorang pempengaruh atau content creator itu kurang atau tiada ilmu mereka akan menghasilkan kandungan sebaliknya,”katanya.
Namun apa yang merisaukan, ada dalam kalangan pelajar minat semakin kurang untuk masuk university,kolej,belajar sebab ramai nak terus buat akaun sosial media dan menjadi pempengaruh, pengasas produk viral, youtuber dan instafamous.
“Semua kerja atau title ini dapat disatukan dalam satu kerja hakiki iaitu Content Creation,”katanya.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata seramai 180,680 atau 48.74 peratus pelajar lepasan SPM sesi persekolahan 2021 memilih untuk tidak menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Katanya jumlah itu diperolehi daripada data sistem eProfil Kerjaya Murid (ePKM).
Manakala dalam satu kenyataan di laman Facebook Vocket, hampir satu kelas dapat markah kosong sebab ingin menjadi pempengaruh.

Izmer berkata untuk menjadi pempengaruh pelajaran adalah penting untuk bijak mengawal keadaan.
“Bagi saya sendiri disebabkan dikelilingi oleh kawan, keluarga, penonton dan anda semua yang berpelajaran dan profesional dalam pelbagai bidang, jadi ada perasaan malu untuk menghasilkan kandungan yang tiada nilai kepada masyarakat.
“Jadi kami di Senok Perut akan berusaha untuk menghasilkan kandungan berinformasi dan menghiburkan dalam masa yang sama,”katanya.
IMedikel TV





