KUALA LUMPUR: Kugiran Masdo melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menduduki kelompok teratas Kumpulan Terbaik Malaysia dan berada dalam kelompok Top 5 Artis Terbaik Malaysia 2024 disenaraikan oleh Spotify Wrapped.
Perkara itu dikongsikan syarikat rakaman Warner Music Malaysia berikutan beberapa kejayaan diraih kumpulan muzik retro terbabit.
“Pencapaian luar biasa ini menegaskan pengaruh besar kumpulan retro unik tempatan ini dalam industri muzik serta sokongan padu daripada peminat setia mereka.
“Menyertai barisan legenda muzik tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang memegang rekod sebagai artis paling banyak distrim dalam kategori Artis Terbaik Malaysia 2024, Masdo mencipta kejayaan tersendiri,” menurut kenyataan yang dikeluarkan.
Daripada memukau penonton di Indonesia kepada menggegarkan pentas di Mongolia dan Korea Selatan, Masdo membawa muzik Malaysia ke persada antarabangsa.
“Pencalonan mereka untuk kategori “Best Asia Act” di MTV EMA 2024, bersama artis terkenal dari Jepun, Korea Selatan, Filipina dan Indonesia, semakin mengukuhkan kedudukan mereka sebagai kuasa besar dalam industri muzik Malaysia.
“Bagi menutup tirai tahun yang penuh dengan kejayaan, Masdo bersedia untuk meneruskan momentum mereka. Tahun hadapan menjanjikan pelbagai projek menarik, antaranya pelancaran album penuh yang sangat dinanti-nantikan dan siri jelajah menyeluruh di Malaysia, Singapura serta Indonesia.
“Dengan tenaga yang memukau, melodi abadi dan bakat tidak dapat dinafikan, Masdo bersedia memikat penonton di seluruh dunia dan meninggalkan legasi berkekalan dalam industri muzik,” kata kenyataan itu lagi. – HMetro Online –
IMedikel TV






