Home Sukan HANYA SABAH PANGGIL PULANG PEMAIN – FAM

HANYA SABAH PANGGIL PULANG PEMAIN – FAM

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan hanya Sabah memanggil pulang empat pemain mereka daripada skuad kebangsaan.

Ia menyaksikan Harimau Malaya hilang khidmat Dominic Tan, Stuart Wilkin, Darren Lok dan Daniel Ting bagi aksi ketiga Kumpulan A Piala ASEAN 2024 menentang Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok, Sabtu ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman menjelaskan semua pemain lain sudah terbang bersama pasukan ke Bangkok, pagi tadi termasuk pemain Penang FC, Syamer Kutty Abba dan Adib Raop.

“Empat pemain dari Sabah (tidak bersama pasukan), pemain lain termasuk dari Selangor semua pergi (bersama pasukan ke Bangkok). Pemain dari Penang, Syamer dan Adib pun ada.

“Kita memahami situasi dihadapi kelab. Kelab bantu kita dan kita pun kena bantu kelab juga,” katanya ketika ditemui media selepas majlis pelancaran jam tangan edisi terhad kedua CAT X Harimau Malaya di wisma FAM, hari ini.

Sabah memanggil empat tonggak utama mereka itu bagi menghadapi aksi suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Kuching City di Stadium Negeri, Kuching, Ahad ini.

Sebelum ini, Penang memanggil Syamer dan Adib untuk menghadapi Piala Cabaran menentang PT Athletic yang menyaksikan dua pemain itu tidak tersenarai dalam skuad Harimau Malaya menentang Timor Leste, semalam.

Persembahan Harimau Malaya dikritik meskipun skuad kendalian Pau Marti Vicente berjaya bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Timor Leste 3-2 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Ketika ditanya mengenai perkara itu, Noor Azman menjelaskan bahawa pemain dan barisan kejurulatihan sudah melakukan yang terbaik.

“Kita harapkan pasukan akan buat yang terbaik di Thailand. Saya yakin barisan kejurulatihan boleh membentuk skuad seimbang walaupun ramai pemain muda,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here