Home Buletin Semasa LPNM HASILKAN LEBIH 300,000 BIJI NANAS MD2 PADA JULAI TAHUN INI

LPNM HASILKAN LEBIH 300,000 BIJI NANAS MD2 PADA JULAI TAHUN INI

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

LANCHANG: Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) menghasilkan kira-kira 319,193 biji nanas MD2 menerusi tuaian pertama tanaman di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).

Pengerusinya Sheikh ‘Umar Bagharib Ali berkata projek tanaman itu bermula pada 4 Julai tahun lalu dan mengeluarkan hasil tuaian pertama pada Julai tahun ini.

“Kita telah memanfaatkan hampir 400 daripada 3,000 ekar tanah untuk tanaman ini dengan melibatkan syarikat pengusaha tempatan.

“Keluasan bertanam terkini adalah 190.5 ekar manakala keluasan berhasil ialah sebanyak 32 ekar, pengeluaran hasil akan berterusan mengikut penjadualan berperingkat bagi memenuhi permintaan ramai,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, projek tersebut adalah menerusi Program Pembangunan Peneroka (PPP) FELDA melibatkan tiga pertubuhan koperasi peneroka FELDA iaitu Felda Damar, Felda Lakum dan Felda Lembah Klau.

Jelasnya, model perniagaan yang digunapakai melibatkan tiga pihak iaitu FELDA sebagai pemilik dana dan tanah, syarikat Aqina Fruits Sdn Bhd sebagai operator manakala badan Koperasi sebagai peserta.

“Apa yang menarik, Aqina Fruits Sdn Bhd juga sebenarnya sedang menjalankan R&D untuk mencari kalibrasi bagi mendapatkan kualiti MD2 terbaik dalam tempoh penuaian hasil yang lebih singkat.

“Malah, pada masa sama, Agrobank turut terlibat sebagai pengurus dana dan pemberi pinjaman ‘operational expenses’,” katanya.

Tambahnya, tempoh tuaian biasa nanas MD2 adalah minimum 14 bulan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata projek tersebut dapat memberikan impak mobiliti sosial kepada masyarakat menerusi peningkatan pendapatan yang sejajar dengan semangat Malaysia Madani untuk meningkatkan peluang ekonomi dan taraf hidup masyarakat luar bandar.

“LPNM berharap model ini dapat digarap lebih meluas oleh para pemain industri nanas di negara kita kerana ia boleh memberi limpahan rezeki buat rakyat serta pekebun kecil yang telah dillbatkan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here