MANILA: Seorang wanita Filipina yang sepatutnya menerima hukuman mati atas kes dadah di Indonesia pada 2015 akan dipindahkan ke Filipina.
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, berkata keputusan itu diperoleh selepas bertahun-tahun rundingan antara kedua-dua negara dibuat sebelum ini.
“Selepas lebih sedekad diplomasi dan perbincangan dengan kerajaan Indonesia, kami berjaya menangguhkan pelaksanaan hukuman sehingga mencapai persetujuan untuk membawanya pulang ke Filipina.
“Hasil ini mencerminkan keakraban kerjasama antara negara kita dengan Indonesia, bersatu dalam komitmen terhadap keadilan dan belas kasihan.
“Kami menantikan kepulangan Mary Jane ke tanah air,” katanya melalui kenyataan.
Mary Jane Veloso, seorang pembantu rumah dan ibu kepada dua anak, ditahan di Jakarta pada 2010 kerana membawa 2.6kilogram heroin yang disembunyikan dalam beg pakaian miliknya.
Dia terselamat daripada hukuman tembak pada saat-saat akhir pada 2015 selepas pegawai Filipina meminta Presiden Indonesia ketika itu, Joko Widodo (Jokowi), membenarkannya memberi keterangan terhadap anggota sindiket pemerdagangan manusia dan dadah.
Bagaimanapun, hukuman mati terhadap lapan pesalah dadah lain tetap dilaksanakan, dan Jokowi ketika itu menyifatkan penangguhan hukuman Veloso sebagai sementara.
Tempoh jawatan Jokowi sebagai presiden berakhir bulan lalu. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






