Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
Tahukah anda bayi pramatang perlu menjalani pemeriksaan mata pada awal kelahiran bagi mengelakkan daripada berlaku komplikasi retinopati pramatang (ROP)?
ROP adalah sejenis gangguan mata yang berlaku pada bayi pramatang di mana saluran darah retina iaitu lapisan belakang mata yang sensitif terhadap cahaya, berkembang secara tidak normal.
Ketika bayi lahir terlalu awal, pertumbuhan saluran darah yang tidak normal boleh membawa kepada masalah penglihatan atau bahkan buta sekiranya tidak dirawat.
Ia biasanya terjadi pada bayi yang lahir sebelum 34 minggu kehamilan atau bayi dengan berat kelahiran kurang daripada 1.75kilogram.
Retina ini adalah kawasan belakang mata yang mengesan cahaya dan menghantar maklumat kepada otak seterusnya membantu kita untuk melihat.
Sekiranya berlaku masalah sebegini, mendapat rawatan awal untuk mencegah kerosakan atau kebutaan pada mata bayi tersebut.
Oleh itu, ibu bapa perlu membuat saringan mata kepada bayi-bayi yang dilahirkan pramatang.
ROP tahap ketiga dan ke-atas memerlukan rawatan lanjut dalam bentuk laser atau suntikan intravitreal anti VEGF (Vascular Endothelial Growth Factor)
Ia bertujuan mengelakkan kerosakan teruk pada saraf mata yang boleh menyebabkan kurang penglihatan atau kebutaan pada bayi.
IMedikel TV






