KAHERAH: Tentera Israel menghantar kereta kebal ke bahagian barat kem Nuseirat di Gaza semalam dalam pencerobohan baharu ke kawasan tengah itu.
Menurut pakar perubatan Palestin, sejak malam kelmarin, serangan tentera Israel itu mengorbankan sekurang-kurangnya 30 orang.
Penduduk berkata, kereta kebal Israel melepaskan tembakan ketika mereka melancarkan serangan ke dalam sektor kem itu, satu daripada lapan tapak pelarian bersejarah di Semenanjung Gaza.
Ia menyebabkan suasana panik dalam kalangan penduduk dan ahli keluarga yang kehilangan tempat tinggal.
Seorang penduduk, Zaik Mohammad, berkata kemaraan kereta kebal itu benar-benar mengejutkan. “Sesetengah penduduk tidak boleh keluar dan terperangkap di dalam kediaman masing-masing. Mereka merayu supaya dibenarkan keluar, manakala yang lain bergegas keluar dengan membawa apa saja yang sempat diambil ketika melarikan diri,” kata seorang penduduk, Mohammad, 25, yang tinggal satu kilometer dari kawasan sasaran.
Beliau memberitahu REUTERS kejadian itu melalui satu aplikasi sembang.
Ketika perang di Gaza kini memasuki bulan ke-14, Israel memfokuskan operasinya di utara dan ia berpusat kepada apa yang didakwanya kempen untuk menyekat kemaraan pejuang Hamas.
Puluhan ribu penduduk Palestin diminta mengosongkan kawasan itu.
Ia sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa mereka mungkin tidak akan dibenarkan pulang lagi.
Peluang bagi gencatan senjata semakin tipis susulan negara pengantara, Qatar pada hujung minggu lalu, berkata pihaknya menangguhkan usaha itu sehingga Israel dan Hamas menunjukkan kesediaan yang lebih besar untuk mencapai persetujuan.
Dalam serangan semalaman itu yang berlanjutan sehingga pagi semalam, pegawai kesihatan di Hospital Al-Awda, Nuseirat, berkata 20 orang terbunuh dalam siri serangan dari udara dan darat, malah turut mengenai kawasan khemah penduduk.
Di bandar Beit Lahiya, di utara Gaza, iaitu markas tentera Israel sejak 5 Oktober, pegawai perubatan berkata, empat orang terbunuh dalam serangan udara Israel.
Menurut pegawai perubatan, mangsa lain yang terbunuh dalam serangan udara Israel termasuk di Hospital Kamal Adwan berhampiran Beit Lahiya, dekat Gaza City.
Dalam insiden itu, dron dilancarkan Israel menyebabkan tiga pekerja perubatan tercedera di kemudahan itu.
Bagaimanapun, setakat ini, Israel belum mengeluarkan sebarang komen mengenai insiden keganasan itu. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






