BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menolak sama sekali usul gencatan senjata di Lubnan, kerana akan membolehkan Hizbullah menghampiri sempadan utara negaranya, ketika kumpulan itu mengancam untuk memperluaskan serangan.
Sementara itu, tentera Israel berkata sekitar 50 pelbagai jenis peluru berpandu ditembak dari Lubnan ke arah utara negara itu pada awal pagi Rabu, tanpa sebarang laporan kecederaan.
“Sebahagian daripada peluru berpandu itu berjaya dipintas, dan serpihan peluru yang jatuh di kawasan tersebut dikenal pasti ditembak dari Lubnan,” katanya.
Pada masa sama, Hizbullah menyatakan bahawa mereka melancarkan serangan besar-besaran peluru berpandu ke arah bandar Safed.
Komen Netanyahu dibuat ketika Amerika Syarikat (AS), meningkatkan tekanan ke atas tindakan Israel dalam peperangan di Lubnan dan Gaza, mengkritik pengeboman Beirut baru-baru ini dan menuntut lebih banyak bantuan kemanusiaan sampai ke wilayah Palestin.
Menurut kenyataan dari pejabatnya, Netanyahu dalam satu panggilan dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menegaskan bahawa beliau menentang gencatan senjata sebelah pihak.
Katanya, tindakan seumpamanya tidak mengubah keadaan keselamatan di Lubnan, sebaliknya hanya mengembalikannya kepada keadaan sebelum perang.
Menurut kenyataan sama, Netanyahu dan tentera Israel turut menegaskan mesti ada zon penampan di sepanjang sempadan Israel dengan Lubnan, di mana dijamin tiada kehadiran pejuang Hizbullah.
“Netanyahu menegaskan bahawa Israel tidak akan bersetuju dengan sebarang aturan yang tidak menyediakan (zon penampan) dan tidak menghentikan Hizbullah daripada berkumpul kembali dan dan menyelaras semula strategi serangan,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, Timbalan Ketua Hizbullah, Naim Qassem, berkata satu-satunya penyelesaian ialah gencatan senjata, sambil mengancam untuk meluaskan skop serangan peluru berpandunya di seluruh Israel.

“Oleh kerana musuh Israel menyasarkan seluruh Lubnan, kami juga mempunyai hak dari kedudukan pertahanan kami untuk menyasarkan mana-mana tempat di Israel,” katanya.
Dalam pertempuran lain, kumpulan yang disokong Iran berkata, ia melancarkan roket bertubi-tubi ke arah bandar Haifa di utara Israel dan menyasarkan jentolak Israel serta kereta kebal berhampiran sempadan.
Tentera Israel mengebom beberapa kawasan di selatan dan timur Lubnan semalam, termasuk di Lembah Bekaa di mana sebuah hospital di bandar Baalbek tidak lagi beroperasi, lapor Agensi Berita Nasional Lubnan.
Israel juga berkata ia berjaya menawan tiga pejuang Hizbullah di selatan Lubnan.
Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, sembilan orang terbunuh semalam dalam serangan di selatan negara itu, dan lima lagi di timur, termasuk tiga kanak-kanak.
Sementara itu di Gaza, jurucakap Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), James Elder, berkata makanan, bekalan perubatan dan tempat tinggal amat diperlukan sekarang.
“Bagaimanapun, konvoi bantuan kini menghadapi sekatan paling ketat sejak permulaan serangan Israel pada Oktober tahun lalu.
“Apa yang kami lihat sekarang ini adalah sekatan paling teruk terhadap bantuan kemanusiaan,” katanya sambil menambah bahawa terdapat beberapa pada minggu lalu di mana tiada trak komersial dibenarkan masuk.
Serangan tentera Israel setakat ini mengorbankan 42,344 penduduk Palestin, kebanyakannya orang awam, menurut angka Kementerian Kesihatan di wilayah kendalian Hamas, yang diterima oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sekurang-kurangnya 1,356 orang terbunuh di Lubnan sejak Israel meningkatkan pengebomannya bulan lalu, menurut angka Kementerian Kesihatan Lubnan, walaupun jumlah sebenar mungkin lebih tinggi. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






