Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
BACHOK: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengambil maklum berkenaan kisah Nur Nasuha Nusi, 12, yang kini viral di media semalam.
Menurut ciapan Facebooknya, beliau telah memuat naik satu video berhubung kisah murid tersebut.
Katanya, pihak Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) akan menguruskan pengangkutan murid tersebut untuk dibawa ke MRSM Kuala Krai bagi menduduki Ujian Kecenderungan Kemasukan Maktab Rendah Sains MARA (UKKM), hari ini.
“Saya sudah minta MARA untuk hubungi ibu bapa pelajar ini semalam.
“MARA akan cuba sedaya upaya untuk membantu agar tiada lagi pelajar cemerlang yang tercicir,” katanya dalam ciapan semalam.
Ujar Asyraf, beliau sudah menyebut berulang kali jangan jadikan alasan kemiskinan sebagai halangan untuk menyambung pengajian.
“Maklumkan terus kepada saya jika ada kes-kes sebegini.
“Semoga dipermudahkan dan selamat jaya buat adik Nasuha,” katanya.
Tambahnya, Bahagian Pendidikan Menengah MARA akan mengeluarkan tarikh baharu UKKM terutama kepada calon yang memohon penukaran tarikh ujian atas pelbagai sebab yang akan dimaklumkan pada 23 Oktober ini.
Media sebelum ini melaporkan kisah Nur Nasuha dari Kampung Lubuk Nibong, Pak Badol yang tercicir menduduki UKKM di MRSM kerana kemiskinan keluarga selepas bapanya, Nusi disahkan menghidap penyakit Gerd sejak dua tahun lalu.

IMedikel TV






