Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) memberi maklum balas berhubung persoalan yang ditimbulkan oleh The Star dalam akhbar berkenaan bertajuk Turkey shortage ruffles feathers bertarikh 4 Oktober lalu.
Menurut kenyataan media, pengeluaran ayam belanda tempatan adalah sebanyak 10,010 ekor pada tahun 2023 melalui 145 penternak dari ladang-ladang ternakan di seluruh negara.
Jumlah itu dapat menghasilkan sebanyak 50,050 kg daging ayam belanda. 2. Negeri pengeluar utama ayam belanda adalah Pulau Pinang, Johor, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.
Pada masa kini tiada wabak penyakit ayam belanda yang berlaku dan bekalan tempatan dijangka stabil.
Bagi memastikan bekalan ayam belanda sentiasa ada di pasaran, ia ditampung dengan mengimport dari negara luar untuk memenuhi keperluan dalam negara khasnya di musim perayaan Krismas.
Antara langkah yang diambil DVS ialah memeriksa dan meluluskan loji penyembelihan halal ayam belanda di luar negara bersama pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Pada masa ini, Turkiye merupakan negara sumber yang telah diluluskan bagi pengimportan ayam belanda ke Malaysia dan tempoh kelulusan adalah sehingga tahun 2027.
DVS juga memaklumkan bahawa jabatan itu sentiasa komited dalam memastikan bekalan makanan dalam bentuk ternakan sentiasa mencukupi, terjamin kualitinya serta selamat dimakan oleh rakyat negara ini.
IMedikel TV






