PARIS: Penduduk bandar raya ini mengancam untuk membuang air besar di Sungai Seine dalam satu protes menjelang Kejohanan Sukan Olimpik 2024, lapor The Sky News.
Orang ramai yang marah kerana tidak berpuas hati dengan kos pembersihan dan penyelenggaraan sungai itu, berhimpun dengan tanda pagar #JeChieDansLaSeineLe23Juin pada Ahad.
Dilaporkan, lebih daripada 1.4 bilion euro (kira-kira RM7.05 bilion) dibelanjakan untuk menjadikan air sungai itu cukup selamat untuk berenang, dengan acara triatlon dan renang air terbuka dijadualkan berlangsung di sungai itu.
Bagaimanapun, laporan yang diterbitkan pada Jumaat menunjukkan air sungai terbabit masih terlalu kotor untuk berenang, hanya lebih lima minggu sebelum acara triatlon pertama.
Sampel air menunjukkan kadar tinggi dua jenis bakteria, termasuk e.coli, dan tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan untuk Sukan Olimpik 2024, kata Prefek Wilayah Paris, Marc Guillaume.
Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo merancang untuk berenang di Sungai Seine bagi membuktikan air itu cukup bersih untuk atlet Olimpik, tetapi menangguhkannya sehingga selepas pilihan raya Perancis pada Julai.
Presiden Emmanuel Macron juga berjanji untuk berenang di sungai itu sebelum temasya sukan terbabit tapi tidak menyatakan bila.
Dalam pada itu, sebuah laman sesawang diwujudkan dengan slogan: “Mereka sudah menjerumuskan kami ke dalam najis, giliran mereka untuk terjun ke dalam najis kami.”
Pengaturcara tanpa nama di sebalik laman sesawang itu memberitahu saluran berita Actu Paris mengapa orang ramai marah, “Masalahnya, semua sumber dilaburkan belum dapat menyelesaikan masalah sosial yang kita ada pada masa ini.
“Kami seperti tidak dipedulikan. Kita lihat di mana keutamaan mereka,” katanya. – AGENSI, HMetro Online –
IMEDIKEL TV






