Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
Kutil atau dikenali sebagai ketuat sering kali muncul pada tubuh manusia dalam pelbagai jenis dan bentuk.
Ia biasanya tumbuh pada lapisan luar kulit atau epidermis disebabkan oleh virus yang dinamakan Human Papiloma Virus (HPV).
Pertumbuhan ketuat tersebut boleh menyebabkan kulit menjadi hodoh dan ketidakselesaan serta kesakitan pada badan.
Namun, ketuat itu sebenarnya tidak berbahaya meskipun mungkin sesetengah individu pernah mendengar virus ini dikaitkan dengan kanser pangkal rahim.
Selain itu, individu yang mempunyai ketuat lebih mudah terdedah untuk muncul pada bahagian lain kerana ia boleh berjangkit melalui sentuhan pada badan sendiri atau badan orang lain.
Oleh sebab itu, amalan mengorek ketuat adalah dilarang kerana ia boleh merebak dengan mudah pada tangan atau muka.
Terdapat beberapa jenis ketuat yang boleh berlaku seperti:
1. Ketuat biasa: Dipanggil verruca vulgaris berbentuk seperti bunga kobis kecil dan mempunyai bintik-bintik hitam kecil, ia sering dijumpai di bahagian jari dan sekitar tangan termasuk kuku kaki.
2.Ketuat filiform: Ketuat jenis ini biasanya muncul di bahagian muka dan kelopak mata tetapi boleh melibatkan bahagian badan yang lain, Biasanya ketumbuhan itu sering tumbuh dengan kadar yang cepat dan mempunyai penampilan yang lebih tajam mencacak.
3.Ketuat dalam di tapak kaki: Melibatkan kawasan yang menanggung berat badan, jari kaki dan tumit kaki.
4.Ketuat leper: Ketuat leper bersaiz lebih kecil daripada kutil jenis yang lain, tetapi cenderung untuk berlaku dalam jumlah yang banyak.
Individu yang mempunyai ketuat perlu berulang kali membuat rawatan untuk membuangnya kerana ianya agak sukar untuk hilang, sekiranya tidak dirawat, ia cenderung membesar dan merebak lebih banyak.
Terdapat beberapa rawatan yang boleh dilakukan oleh individu yang mempunyai ketuat.
1.Asid salisilik: Ubat yang mengandungi asid salisilik boleh membantu menyingkirkan ketuat. Asid ini akan melarutkan ketuat satu lapisan pada satu masa.
2.Pembekuan: Prosedur ini dipanggil krioterapi, iaitu rawatan membuang ketuat menggunakan nitrogen cecair untuk membekukan ketuat seterusnya menjadi keras dan mengecut.
3.Rawatan laser: Rawatan ini menggunakan cahaya laser untuk memanaskan dan memusnahkan saluran darah kecil di dalam ketuat.
4.Ubat sapuan: Kaedah ini menggunakan campuran cecair yang mengandungi bahan kimia (cantharidin). Lepuh terbentuk di bawah ketuat dan memotong bekalan darahnya.
IMEDIKEL TV






