BUENOS AIRES: Pengendali Argentina, Lionel Scaloni menegaskan yang anak buahnya harus ‘melupakan’ status mereka selaku juara Piala Dunia apabila bakal memulakan misi mempertahankan gelaran di Copa America dengan bertemu Kanada, esok.
Kejohanan bakal menghimpunkan 10 pasukan dari Selatan Amerika dan enam dari Utara dan Amerika Tengah dan Caribbean di Amerika Syarikat (AS).
Scaloni berkata, pasukannya harus meningkatkan corak permainan mereka untuk sekali lagi menjulang trofi selain menganggap perlawanan dengan pasukan CONCACAF lebih mencabar berbanding bertemu skuad dari Eropah ataupun Amerika Selatan.
“Kami bercakap mengenai perkara yang sudah berlalu. (Menjuarai Piala Dunia dan Copa America) sangat bagus tetapi ia sudah berakhir,” kata pengendali Argentina itu.
“Perlawanan bola sepak semuanya berbeza, tidak ada perlawanan lebih mudah berbanding yang lain. Banyak perkara boleh berlaku. Kesukaran Perancis, Brazil ataupun Kanada boleh menjadi sama.
“Seperti biasa, Copa America akan menjadi sengit, kami sudah mempersiapkan diri untuk menghadapi cabaran. Kami berada dalam keadaan baik, dengan idea yang jelas dan tahu akan kesukaran kejohanan ini.”
Menjelang perlawanan pembuka tirai menentang Kanada, pengendali berusia 46 tahun itu berkata, kunci utama kejayaan pasukannya adalah dengan menikmati perlawanan selepas gagal meraih kemenangan pada edisi final 2015 dan 2016 serta tersingkir di separuh akhir 2019.
“Selain gelaran, kami juga menikmati banyak perkara. Ia satu perkara yang menggembirakan apabila dapat melihat pemain memberikan yang terbaik,” katanya.
“Ia membawa kami mencapai banyak perkara. Kami sudah menunjukkan yang biarpun kami tidak menang seperti pada 2019, kami tetap berupaya bangkit.”
Argentina juga dijadual bertemu Peru dan Chile dalam aksi Kumpulan A. – REUTERS,BH Online –
Imedikel TV






