MAKKAH: Peguam Negara Arab Saudi, Sheikh Saud Al-Mujeb, mengesahkan pasukan pendakwa raya akan memainkan peranan penting pada musim haji dengan memastikan hak dan keadilan pantas dalam mana-mana kes jenayah yang mungkin timbul.
Dalam kenyataan medianya, Al-Mujeb menegaskan, Arab Saudi tidak akan membenarkan sesiapa menjejaskan keselamatan haji atau menyimpang daripada ibadah itu dalam apa jua bentuk.
“Haji adalah kewajipan asas Islam dan jemaah haji perlu menghormatinya.
“Pihak kami akan menjaga hak jemaah haji dan memantau penyedia perkhidmatan dengan teliti dengan pihak pendakwa raya akan bertindak tegas terhadap sesiapa yang cuba mencederakan, menjejaskan atau mengabaikan penyediaan perkhidmatan kepada jemaah haji.
“Kami juga mendoakan keselamatan jemaah di Masjidil Haram,” katanya yang turut menggesa pematuhan terhadap peraturan haji, kerana semua sistem akan dikuatkuasakan sepenuhnya dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan serta tiada jemaah haji akan dibenarkan mengerjakan ibadah itu tanpa permit.
Al-Mujeb meninjau pejabat pendakwa raya di tapak suci berkenaan, termasuk melihat persiapan dan persediaan untuk musim haji kali ini.
Beliau turut meneliti aliran kerja, perkhidmatan diberikan kepada jemaah haji dan kecekapan prosedur yang dijalankan oleh kakitangan kehakiman yang berkelayakan tinggi, selain disokong oleh rancangan institusi yang tersusun dan praktikal.
“Usaha kolektif untuk mencapai keadilan dengan pantas, kerja gigih bagi melaksanakan arahan pucuk pimpinan dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan diberikan kepada jemaah haji perlu ditekankan bagi memastikan jemaah selamat pulang ke pangkuan keluarga mereka,” katanya
Sebelum ini, Pejabat Peguam Negara melancarkan peranti ‘Turjuman’ yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk terjemahan masa nyata kenyataan defendan dengan kadar ralat linguistik sifar peratus.
Peranti itu akan digunakan buat kali pertama pada haji tahun ini. – AGENSI, BH Online –
IMEDIKEL TV






