ABIDJAN: Penyerang veteran Ghana, Andre Ayew berharap untuk mencipta satu rekod dan menyamai satu lagi sepanjang Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2024 di Ivory Coast bermula Sabtu ini.
Memetik laporan AFP menerusi berita harian Pemain berusia 34 tahun itu, yang baru-baru ini menyertai kelab liga utama Perancis, Le Havre, menyasarkan untuk muncul pemain pertama menyumbat gol dalam tujuh edisi kejohanan terulung benua Afrika itu.
Dia berkongsi rekod menjaringkan gol dalam enam kejohanan bersama warga senegara Asamoah Gyan, Kalusha Bwalya (Zambia) dan Samuel Eto’o (Cameroon), penjaring gol terbanyak AFCON sepanjang zaman dengan 18 gol.
Dia turut berharap untuk muncul pemain bintang ketiga beraksi dalam lapan edisi kejohanan yang bermula dengan hanya tiga pasukan pada tahun 1957 namun kini berkembang kepada 24 negara.
Rigobert Song, yang akan melatih pasukan negara kelahirannya Cameroon pada Piala Negara-Negara 2024 dan Ahmed Hassan dari Mesir berkongsi rekod tampil paling banyak pada kejohanan itu.
“Keutamaan saya adalah sama ada bermula atau tampil dari bangku simpanan di Ivory Coast,” kata Ayew kepada wartawan menjelang pertemuan dalam Kumpulan B dengan Cape Verde, juara tujuh kali Mesir dan Mozambique.
“Selepas itu, lihat saja apa yang akan berlaku. Apa yang paling penting Ghana bertindak baik pada kejohanan ini kerana kami pulang menyedihkan daripada Piala Negara-Negara 2022, tersingkir selepas peringkat kumpulan.”
Ghana memegang rekod ketiga terbaik pada Piala Negara-Negara selepas Mesir dan Cameroon dengan empat kejuaraan, namun yang terakhir hadir pada tahun 1982 apabila mereka mengatasi tuan rumah Libya pada final menerusi penentuan penalti.
Di sebalik gesaan sesetengah peminat Ghana supaya Ayew diketepikan, beberapa jurulatih tetap menaruh keyakinan terhadapnya termasuk jurulatih semasa dan bekas pengurus Liga Perdana Inggeris, Chris Hughton.
“Andre banyak menyumbang kepada Black Stars, di dalam mahupun di luar padang,” kata bekas bos Newcastle dan Brighton serta pertahanan Republik Ireland itu.
Anak lelaki bekas legenda Ghana, Abedi ‘Pele’ Ayew, Andre dilahirkan di Perancis, yang mana bapanya yang dinobat sebagai Pemain Terbaik Tahunan Afrika tiga kali beraksi.
Adiknya, pemain sayap Crystal Palace, Jordan Ayew turut berada dalam skuad Ghana yang muncul antara pasukan pilihan lebih kerana reputasi berbanding persembahan di tengah padang. – AFP-BH ONLINE –
Imedikel TV






