Home Sukan CHELSEA IKAT MAN CITY 4-4

CHELSEA IKAT MAN CITY 4-4

LONDON: Penalti saat akhir Cole Palmer membolehkan Chelsea mengikat juara treble, Manchester City 4-4 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge.

Memetik laporan AGENSI menerusi berita harian,City mensia-siakan kelebihan gol sebanyak tiga kali manakala tuan rumah hanya sekali, dan penyerang Chelsea, Palmer menjadi penentu kepada keputusan perlawanan ke atas bekas pasukannya.

Walaupun terlepas peluang menjarakkan diri di puncak liga kepada tiga mata, pengendali City, Guardiola yang kini hanya satu mata di depan Liverpool, mengakui teruja dengan pertembungan klasik itu.

“Anda menikmatinya? Ia adalah iklan yang bagus dan perlawanan menarik untuk Liga Perdana Inggeris.

“Ia perlawanan yang sengit. Sekarang saya rasa ia adalah keputusan yang adil. Kedua-dua pasukan bermain untuk menang.

“Kami tidak membuat keputusan yang tepat selepas mendahului 4-3. Ini kali pertama buat saya di Stamford Bridge kami mencipta banyak peluang, tetapi mereka juga sama,” kata Guardiola.

Pengendali Chelsea, Pochettino bersetuju dengan penilaian Guardiola terhadap pertembungan yang menghasilkan lapan gol itu.

“Kami mahu menang dan menjadi protagonis dalam perlawanan ini. Perlawanan seperti hari ini membuktikan mengapa Liga Perdana Inggeris adalah yang terbaik di dunia,” kata Pochettino.
Penalti Erling Haaland meletakkan City di depan sebelum Thiago Silva menanduk masuk gol penyamaan Chelsea.
Pemain Chelsea, Cole Palmer (tengah) menjaringkan gol penyamaan ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Manchester City di Stamford Bridge, London. – Foto REUTERS

Raheem Sterling pula membolosi gawang bekas pasukannya untuk Chelsea mendahului permainan, tetapi Manuel Akanji membalasnya dengan tandukan yang meletakkan kedudukan seimbang semula sebelum rehat.

Bersambung babak kedua, Haaland sekali lagi menemui sasaran tetapi Nicolas Jackson meledak gol penyamaan Chelsea.

Jaringan minit ke-86 Rodri seakan memastikan tiga mata buat City, namun bintang sedang meningkat naik, Palmer yang dijual oleh Guardiola pada September, menyempurnakan penalti masa kecederaan selepas Ruben Dias mengasari Armando Broja.

Reaksi pengendali Manchester City, Pep Guardiola ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Chelsea di Stamford Bridge, London. – Foto AFP

Sebaik perlawanan berakhir, Pochettino meluru ke arah pengadil, Anthony Taylor yang meniup wisel ketika pasukannya sedang melancarkan serangan.

Pochettino juga terlupa untuk bersalam dengan Guardiola selepas perlawanan, tetapi kemudian meminta maaf di atas tindakannya. – AFP-BH ONLINE-

Reaksi pengendali Chelsea, Mauricio Pochettino ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Manchester City di Stamford Bridge, London. – Foto AFP

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here