Home Hiburan 7 KUMPULAN NASYID BERGABUNG

7 KUMPULAN NASYID BERGABUNG

639
0

SEMPENA Ramadan ini, Daqmie Music Factory dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Cawangan Datuk Keramat bekerjasama untuk menghasilkan single nasyid berjudul Hulurkan.

Projek itu bertujuan untuk terus menyampaikan dakwah serta mengumpul dana bagi tujuan pelbagai program kebajikan dan pendidikan sepanjang tahun ini.

Apa yang menarik, Hulurkan juga menggabungkan tujuh kumpulan nasyid iaitu Mestica, Fine, Zaidi Wildan, Darwish, Shidee Khayran, Cahaya Hati dan Daqmie sendiri.

Daqmie, 53,yang juga pengasas Daqmie Music Factory berkata, projek itu tercetus daripada lagu We Are The World iaitu projek lagu amal yang menggabungkan ramai artis terkemuka Amerika Syarikat pada 1985 untuk mengumpul dana bagi mengatasi kebuluran terburuk di Ethiopia dari 1983 hingga 1985.

“Sebagaimana lagu We Are The World, Hulurkan juga adalah sebuah lagu yang membawa mesej kemanusiaan penuh harmoni dan kasih sayang yang mengajak kita semua untuk sama-sama beramal dengan menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan terutama sepanjang Ramadan.

“Bantuan yang dihulurkan itu juga boleh dilakukan dalam bermacam bentuk sama ada kewangan, barangan, masa, tenaga, harta serta doa yang tidak pernah putus,” katanya dalam sidang media baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Perkim Cawangan Datuk Keramat, Suhaimi Abdul Aziz.

Menurut komposer lagu Casablanca ini, projek lagu Hulurkan tercetus selepas dia dilantik sebagai duta Perkim Datuk Keramat selama dua tahun.

“Saya berasa projek ini akan menjadi lebih signifikan jika lebih ramai penyanyi atau kumpulan nasyid yang terbabit kerana mereka boleh menyertai pelbagai aktiviti yang dirancang Perkim Cawangan Datuk Keramat.

“Sejujurnya, saya juga sudah mengajak ramai penyanyi dan kumpulan nasyid di luar sana untuk terbabit dalam projek ini tetapi yang berminat dan memberikan respon adalah tujuh kumpulan nasyid terbabit ,” kata Daqmie atau nama sebenarnya Azmee Abdul Manap.

Sementara itu, Suhaimi berkata, pendekatan kesenian, khususnya nasyid, dapat menarik lebih ramai masyarakat untuk bersama menyokong usaha dakwah yang berterusan.

“Menerusi projek Hulurkan ini, pihak kami berharap lebih ramai yang akan tampil untuk menyokong usaha ini, sama ada melalui sumbangan atau penyertaan dalam program dianjurkan,” katanya.

Suhaimi berkata, projek itu juga bertujuan mengumpul dana bagi menampung kos operasi rumah mualaf, aktiviti dakwah berterusan dan pembelian kenderaan.

“Selain itu, dana untuk pembangunan Kompleks Dakwah Mualaf Mahmood di Puncak Alam dengan anggaran kos sebanyak RM3.5 juta dan pembangunan semula Sekolah Al Ummah serta pengurusan pusat pengajian Al-Quran dan fardu ain Al Muqaddasah,” katanya. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here