Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
BACHOK: Lima termasuk empat kanak-kanak cedera selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kampung Bukit Marak, di sini, petang tadi.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Ibrahim Mat Roni, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi sistem MERS999 pada jam 2.13 petang dan segera menggerakkan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok bersama sembilan anggota ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 13 kilometer.
“Kemalangan membabitkan sebuah Perodua Axia dan sebuah Honda CRV di sebuah simpang jalan kampung.
“Seorang pemandu perempuan dan empat kanak-kanak yang menaiki Perodua Axia mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu lelaki Honda CRV tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Semua mangsa dikeluarkan orang awam sebelum pasukan bomba tiba,” katanya dalam kenytataan hari ini.
Menurutnya pasukan operasi mengawal keadaan pada jam 2.35 petang.
Semua mangsa diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke hospital.
IMedikel TV






