Home Buletin Semasa 31 DITAHAN, ENAM WARGA CHINA DISYAKI TERBABIT JUDI BOLA PIALA DUNIA DI...

31 DITAHAN, ENAM WARGA CHINA DISYAKI TERBABIT JUDI BOLA PIALA DUNIA DI PULAU PINANG

7
0

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Seramai 31 individu termasuk enam warga China ditahan polis dalam Op Soga XI bagi membantu siasatan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan pertaruhan bola sepak haram sepanjang kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 di sekitar negeri ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, semua suspek ditahan menerusi serbuan di 26 premis hasil risikan dan maklumat yang diterima pihak polis.

Menurutnya, operasi dijalankan di pelbagai lokasi termasuk rumah dan premis perniagaan kerana aktiviti pertaruhan kini tidak lagi tertumpu di kawasan tertentu.

“Tiada hotspot khusus kerana kegiatan ini boleh berlaku di mana-mana sahaja. Malah, dengan perkembangan teknologi, pertaruhan boleh dilakukan hanya menggunakan telefon pintar tanpa memerlukan premis khas.

“Justeru, kerjasama orang ramai amat penting bagi membantu polis mengekang kegiatan ini daripada terus berleluasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan Op Soga XI selepas menghadiri Majlis Pelupusan Barang Kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di George Town, hari ini.

Mengulas kemungkinan peningkatan aktiviti pertaruhan haram menjelang aksi separuh akhir Piala Dunia FIFA 2026, Dennis Lim menegaskan polis akan terus memperhebat operasi pemantauan dan penguatkuasaan di seluruh Pulau Pinang.

Katanya, fokus operasi bukan sahaja terhadap ejen pertaruhan di peringkat bawahan, malah turut menyasarkan dalang yang mengendalikan sindiket berkenaan.

“Kerjasama masyarakat amat diperlukan untuk menyalurkan maklumat bagi membantu polis mengesan dan membanteras sindiket pertaruhan haram ini.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan polis turut melupuskan barang kes membabitkan 565 kertas siasatan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.28 juta.

Menurutnya, pelupusan itu membabitkan barang kes daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD), IPD Timur Laut.

“Barangan yang dilupuskan adalah hasil rampasan daripada pelbagai operasi termasuk membanteras mesin perjudian, penjualan nombor ekor haram, kegiatan noda dan maksiat, Op Kontraban serta Op Ostrich.

“Antara barang kes yang dilupuskan ialah minuman keras, rokok, peralatan hiburan, cakera padat video (VCD) dan cakera padat digital (DVD) lucah,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here