Home Buletin Semasa SINDIKET LARI TINGGALKAN 595 PAKET MINYAK MASAK BERSUBSIDI DALAM SEMAK

SINDIKET LARI TINGGALKAN 595 PAKET MINYAK MASAK BERSUBSIDI DALAM SEMAK

8
0

Oleh Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR MAS: Tindakan panik dipercayai akibat diekori pihak berkuasa menyebabkan sindiket penyeludupan meninggalkan 595 paket minyak masak bersubsidi di dalam kawasan semak sebelum melarikan diri dalam kejadian di Kampung Lumpur, Jeram Perdah, di sini, semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, rampasan itu dibuat menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) dan Op Taring Wawasan Kelantan yang dijalankan Penguat Kuasa KPDN Cawangan Pasir Mas bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9.

Menurut beliau, pasukan operasi mengesan sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Pajero berwarna perak dalam keadaan mencurigakan sedang bergerak menghala ke Jalan Pohon Tanjung.

“Menyedari pergerakannya diekori pasukan operasi, pemandu kenderaan itu dipercayai bertindak memecut laju dan memasuki laluan kampung bagi mengelak daripada ditahan pihak berkuasa.

“Bagaimanapun, suspek dipercayai melalui Jalan Kampung Chenerai sebelum berjaya menghilangkan diri daripada ditahan pasukan operasi,” katanya.

Hanif berkata, pemeriksaan lanjut di kawasan sekitar membawa kepada penemuan beberapa kotak berwarna coklat yang ditinggalkan di dalam kawasan semak berhampiran lokasi kejadian.

Katanya, pemeriksaan mendapati kotak-kotak berkenaan mengandungi paket minyak masak bersubsidi yang dipercayai sengaja ditinggalkan suspek.

“Pasukan operasi kemudian melakukan pemeriksaan selama kira-kira 30 minit di lokasi kejadian, namun tiada individu tampil mengaku sebagai pemilik atau menuntut barang berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, rampasan melibatkan 493 paket minyak masak bersubsidi berjenama bernilai RM1,232.50 dan 102 paket minyak masak bersubsidi berjenama bernilai RM255.00, menjadikan keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM1,487.50.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan semua barang rampasan telah diserahkan kepada KPDN Cawangan Pasir Mas untuk tindakan serta siasatan lanjut.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here