Oleh: Wartawan IMedikel TV
KEPALA BATAS: Sebanyak 200 Jalur Gemilang yang siap dipasang pada kayu pemegang diedarkan kepada orang ramai di sekitar Parlimen Kepala Batas sebagai langkah proaktif mengelakkan kesilapan pemasangan bendera sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, inisiatif yang dilaksanakan bersama Pusat Khidmat ADUN Bertam itu bertujuan memastikan Jalur Gemilang dikibarkan dengan cara yang betul, sekali gus mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, usaha itu juga diambil susulan insiden sebuah premis menjual perkakasan di Kepala Batas yang memasang Jalur Gemilang secara terbalik tahun lalu sehingga mencetuskan kontroversi.
“Tujuan pemasangan Jalur Gemilang pada kayu adalah bagi mengelakkan sebarang bentuk kekeliruan yang akhirnya boleh mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat.
“Pada masa sama, kita mahu memupuk semangat perpaduan. Sambutan Hari Kebangsaan adalah waktu terbaik untuk rakyat bersatu di bawah satu panji iaitu Jalur Gemilang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program pengedaran Jalur Gemilang di sekitar Kepala Batas, hari ini.
Pada program itu, sebanyak 200 Jalur Gemilang lengkap dengan kayu pemegang diserahkan kepada peniaga dan penduduk bagi memudahkan pemasangan serta mengelakkan kesilapan ketika mengibarkan bendera.
Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, selain memastikan Jalur Gemilang dipasang dengan betul, inisiatif berkenaan diharap dapat menyemarakkan semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan serta mengekalkan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
“Dalam pada itu pemberian ini akan diperluaskan menerusi pelancaran rasmi Semarak Jalur Gemilang Parlimen Kepala Batas pada 23 Ogos ini yang menyasarkan pengagihan sebanyak 20,000 Jalur Gemilang lengkap dengan kayu pemasangan,”katanya.
Katanya, bagi menjayakan program berkenaan, pihaknya menyasarkan penyertaan ratusan sukarelawan khususnya dalam kalangan belia, dengan pendaftaran akan dibuka melalui Sekretariat Pemuda UMNO dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
IMedikel TV






