Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memohon kerajaan menyediakan peruntukan yang lebih besar bagi pembangunan sektor akuakultur menerusi Belanjawan 2027 bagi memastikan bekalan ikan tempatan terus mencukupi susulan penyusutan sumber perikanan di laut.
Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, sektor akuakultur kini perlu diberi keutamaan sebagai langkah jangka panjang bagi meningkatkan pengeluaran ikan dan menjamin sekuriti makanan negara.
Menurutnya, antara fokus utama yang memerlukan perhatian ialah kerja membaik pulih kolam akuakultur lama yang rosak dan usang supaya dapat digunakan semula untuk meningkatkan pengeluaran hasil perikanan.
“Ketika ini sumber ikan di laut semakin berkurangan. Jadi fokus kita sekarang adalah kepada pembangunan akuakultur. Kita memohon peruntukan yang lebih dalam Belanjawan 2027 bagi membangunkan sektor ini, khususnya untuk membaik pulih kolam-kolam lama yang telah rosak dan usang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra MADANI Pengerusi LKIM di Bakau Tua, Penaga, Kepala Batas, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 103 nelayan menerima manfaat menerusi beberapa inisiatif LKIM membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM615,900.
Mengulas lanjut, Muhammad Faiz turut berharap kerajaan mengekalkan beberapa inisiatif sedia ada yang banyak membantu golongan nelayan, termasuk peruntukan RM3 juta bagi penyediaan peralatan menangkap ikan, elaun sara hidup nelayan, subsidi diesel serta bantuan baik pulih rumah.
Selain itu, beliau turut memohon peruntukan tambahan bagi membaik pulih dan menaik taraf prasarana nelayan yang semakin uzur, di samping membina kemudahan baharu yang diperlukan.
Katanya, LKIM sudah mengenal pasti beberapa jeti yang uzur dan memerlukan perhatian.
“Dalam RM10 juta itu kita bahagi-bahagikan macam tahun ini RM244,000 untuk baik pulih dan RM30,000 untuk bina baru serta untuk peralatan tangkapan ikan seperti ini juga, kita mohon untuk dikekalkan (peruntukan) RM3 juta.
“Selain itu, kita juga melihat kepada prasarana nelayan ini, ada yang dah usang, ada yang rosak maka kita minta supaya kerajaan melihat kepada satu peruntukan tambahan untuk kita baik pulih ataupun naik taraf, termasuklah pembinaan aktiviti baru yang diperlukan di perkarangan nelayan pesisir pantai,” katanya.
Beliau berkata, walaupun sumbangan sektor perikanan kepada ekonomi negara tidak sebesar sektor lain, industri itu tetap memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan makanan negara kekal stabil.
“Ketika ini terdapat kira-kira 42,000 hingga 43,000 nelayan Zon A di seluruh negara yang bergantung kepada kemudahan pendaratan ikan yang lebih baik bagi menyokong aktiviti harian mereka,”katanya.
IMedikel TV






