Oleh: Wartawan IMedikel TV
KLUANG: Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan membunuh bayi perempuan yang baru dilahirkannya, hujung bulan lalu.
Tertuduh, Nurshazwen Mohd Idris yang juga pelajar sebuah kolej di daerah ini, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Nurshazwen didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan di sebuah rumah di Jalan Setia Mutiara, Taman Setia Mutiara, di sini, kira-kira jam 10 pagi pada 29 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 8 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia, psikologi dan bedah siasat.
Sebelum ini, pada 30 Julai lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arshad memaklumkan mayat seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemukan di dalam mangkuk tandas sebuah rumah yang dijadikan asrama pelajar di Taman Setia Mutiara, Kluang.
Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati bayi berkenaan meninggal dunia akibat beberapa kesan tikaman pada bahagian dada.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap tertuduh turut mendapati terdapat seorang lagi bayi perempuan di dalam kandungannya yang kemudiannya berjaya dilahirkan dengan selamat.
Siasatan juga mendapati kedua-dua bayi yang dilahirkan wanita berusia 19 tahun itu adalah hasil hubungannya dengan teman lelaki.
IMedikel TV






