Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Seramai 16 penduduk termasuk enam kanak-kanak berjaya diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kejadian banjir kilat yang melanda Kampung Sethu, Sungai Bakap, awal pagi hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah malam itu, beberapa rumah dinaiki air sehingga tiga kaki akibat hujan lebat berterusan menyebabkan mangsa terperangkap di kediaman masing-masing.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata,pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap kemudian menjalankan operasi menyelamat dengan menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah bot gentian kaca dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Hilux.
“Kesemua 16 mangsa berjaya dipindahkan ke tempat selamat sebelum diserahkan kepada waris yang berada di lokasi.
“Mangsa membabitkan tiga keluarga terdiri daripada 10 orang dewasa serta enam kanak-kanak,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata, selepas operasi menyelamat selesai, pihak bomba membuat pemantauan di kawasan berkenaan dan mendapati paras air semakin surut sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.30 pagi.
Terdahulu, JBPM Pulau Pinang turut melakukan pemantauan banjir di Taman Jawi Jaya, Sungai Jawi, pada jam 10.32 malam tadi selepas kawasan berkenaan dilanda banjir kilat dengan paras air dianggarkan setinggi satu kaki akibat hujan lebat dan peningkatan paras air sungai berhampiran.
Bagaimanapun, beliau berkata pemeriksaan mendapati tiada mangsa terlibat dan anggota hanya menjalankan pemantauan bagi memastikan keadaan di lokasi selamat.
Sementara itu, John Sagun berkata, hujan lebat yang melanda kawasan sama turut menyebabkan sebatang pokok tumbang lalu menghempap sebahagian garaj sebuah rumah dan sebuah kereta Perodua Bezza di Kampung Changkat, Sungai Jawi.
“Dalam kejadian jam 1.10 pagi itu, tiada mangsa dilaporkan cedera.
“BBP Nibong Tebal yang menerima panggilan kecemasan pada jam 1.10 pagi tiba di lokasi enam minit kemudian sebelum menjalankan kerja pemotongan dan pembersihan pokok yang menghalang kawasan rumah,” katanya.
John Sagun berkata, pokok berkenaan menghempap sebahagian kecil garaj dan sebuah Perodua Bezza milik wanita berusia 22 tahun.
“Selepas kerja pembersihan selesai dan pemeriksaan mendapati tiada lagi sebarang bahaya di lokasi, kawasan itu diserahkan kepada pemilik rumah untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi ditamatkan pada jam 3.35 pagi,” katanya.
IMedikel TV






