Home Buletin Semasa JABATAN KIMIA JAGA KELESTARIAN ALAM SEKITAR

JABATAN KIMIA JAGA KELESTARIAN ALAM SEKITAR

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Peka terhadap kelestarian alam sekitar mendorong Jabatan Kimia Malaysia Negeri Pahang mengadakan program riadah ilmiah di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP), Cherating, di sini pada Rabu.

Sempena program itu turut diadakan aktiviti gotong-royong membersih pesisir pantai Cherating yang terkenal dengan kawasan mendarat penyu untuk bertelur.

Pengarahnya, Wan Ahmad Ashadi Wan Mohd Kamil berkata, seramai 30 kakitangan dan ahli keluarga terbabit pada program yang turut dapat mengeratkan lagi hubungan dikalangan kakitangan Jabatan Kimia Negeri Pahang.

Menurutnya, selain bertujuan memelihara kelestarian alam sekitar yang menjadi habitat penting penyu, aktiviti riadah fizikal seumpama ini amat berkesan dalam memupuk suasana positif serta membentuk semangat kerja secara berpasukan dikalangan kakitangan jabatan.

“Program seumpama ini diharap dapat melahirkan warga jabatan yang cergas dan sihat seterusnya sentiasa peka terhadap kelestarian alam sekitar.

“Kita akan menjadikan program ini sebagai acara tahunan bagi menjayakan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Jabatan Kimia Malaysia Negeri Pahang,” katanya.

Pada program kali ini peserta turut berpeluang mendengar taklimat konservasi penyu daripada Ketua Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan, Mohamad Anuar Roslan.

Kemuncak program peserta diberi peluang melepaskan sebanyak 300 anak penyu agar ke laut.

Wan Ahmad Ashadi menambah, pengalaman melepaskan anak penyu diharap dapat menyuntik kesedaran yang lebih mendalam terhadap kepentingan memelihara ekosistem marin negara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here