Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
JOHOR BAHRU: Seramai 180 tahanan warga asing dari pelbagai negara sudah dihantar pulang ke negara asal masing-masing oleh Depot Imigresen Pekan Nenas (DIPN) sepanjang minggu ketiga Jun 2026 selepas selesai menjalani hukuman atas pelbagai kesalahan di negara ini.
Daripada jumlah itu, seramai 132 tahanan adalah warganegara Myanmar, diikuti Bangladesh (22), Vietnam (12), Thailand (9), Nepal (2), manakala masing-masing seorang tahanan dari Sri Lanka, China dan Singapura.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam kenyataan menerusi laman rasminya memaklumkan, proses penghantaran pulang dilaksanakan melalui beberapa pintu keluar utama negara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai serta Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bangunan Sultan Iskandar.
“Pemindahan tahanan ke negara asal ini dilaksanakan setelah kesemua tahanan selesai menjalani hukuman penjara atas pelbagai kesalahan dibawah Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234), Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan lain-lain.
“Kesemua tahanan yang dihantar pulang ke negara asal telah disenarai hitam dalam sistem Jabatan dan tidak dibenarkan memasuki semula Malaysia bagi tempoh yang ditetapkan, tanpa mengira tujuan kemasukan,” menurut kenyataan itu.
JIM turut menjelaskan bahawa kos penghantaran pulang tahanan ditanggung sepenuhnya melalui simpanan peribadi tahanan, sumbangan ahli keluarga atau bantuan kedutaan negara masing-masing bagi kes-kes tertentu.
Dalam masa sama, orang ramai yang ingin menguruskan proses penghantaran pulang tahanan boleh berurusan terus di Kaunter Perkhidmatan yang disediakan di Depot Imigresen Pekan Nenas.
“JIM menegaskan bahawa tiada sebarang caj perkhidmatan dikenakan bagi urusan tersebut dan orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat terus daripada pihak depot bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau penipuan,”jelas kenyataan itu.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Unit Rekod dan Pemindahan Depot Imigresen Pekan Nenas menerusi talian 07-6993540 atau melalui Sistem Pertanyaan Online (SPO) JIM
IMedikel TV






