Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
IPOH: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti semua aspek berkaitan insiden seorang murid lelaki Tingkatan Satu yang dilaporkan terjatuh dari sebuah bangunan di sebuah sekolah di negeri ini.
JPN Perak dalam kenyataan media hari ini memaklumkan, pihaknya turut memberi kerjasama penuh kepada polis yang sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan.
“Kes ini sedang berada dalam siasatan pihak polis. JPN Perak memberi kerjasama penuh kepada proses siasatan yang sedang berjalan.
“Pada masa sama, siasatan dalaman turut dilaksanakan bagi meneliti setiap perkara yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, murid terbabit kini sedang menerima rawatan di hospital.
“Murid berkenaan kini sedang mendapat rawatan di hospital. Semoga beliau dikurniakan kesembuhan segera dan keluarga diberi kesabaran serta ketabahan dalam menghadapi ujian ini,”katanya.
Pada masa sama, JPN Perak telah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kebajikan dan batuan terbaik kepada keluarga murid berkenaan.
Selain itu, sokongan psikososial turut diberikan kepada warga sekolah yang terkesan.
“Masyarakat diminta untuk memberi ruang kepada siasatan pihak berkuasa dan menghormati sensitiviti keluarga yang sedang berhadapan ujian pada ketika ini,”jelas kenyataan itu.
Media sebelum ini melaporkan seorang pelajar berusia 13 tahun itu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas dipercayai terjatuh dari bangunan di kawasan sebuah sekolah menengah di Ipoh dan mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan lanjut.
IMedikel TV






