Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka meneruskan pelaksanaan Operasi Pemandu Warga Asing (Ops PeWA) di sekitar Bandar Melaka bagi memastikan pemilik serta pemandu kenderaan sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya.
Dalam operasi tersebut, pelbagai kesalahan dikesan membabitkan pengguna jalan raya, dengan antara kesalahan utama ialah memandu tanpa Lesen Memandu Kompeten (CDL) yang sah serta Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang telah tamat tempoh.
JPJ Melaka memaklumkan tindakan tegas telah diambil terhadap pesalah yang ingkar, termasuk menyita kenderaan dan mengeluarkan saman yang memerlukan pesalah hadir serta menyelesaikan kes di Mahkamah Majistret.
“Selain kesalahan berkaitan dokumen dan lesen, pemeriksaan turut mendapati beberapa pelanggaran teknikal melibatkan kenderaan perdagangan.
“Antaranya ialah lori yang gagal menutup muatan dengan sempurna, penggunaan tayar yang haus serta ketiadaan penahan lumpur yang boleh mengundang risiko kepada pengguna jalan raya lain,”menurut kenyataan itu.
Menurut JPJ Melaka, operasi berterusan itu bertujuan meningkatkan tahap pematuhan terhadap peraturan jalan raya selain memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memastikan lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor dan keadaan kenderaan masing-masing berada dalam keadaan sah serta selamat sebelum memulakan perjalanan.
IMedikel TV






