Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Populariti ‘Vietnam Roll’ atau popia Vietnam di Malaysia semakin melonjak, apabila lebih 1,500 biji habis terjual dalam tempoh satu jam.
Seorang pengusaha popia Vietnam, Gilang Cahaya berkata, hidangan itu mendapat permintaan tinggi kerana memenuhi selera masyarakat Kelantan sehingga ada yang tidak kisah beratur panjang demi mencuba hidangan itu.

“Setakat ini sangat-sangat memberangsangkan, pelanggan kita pun sanggup beratur daripada pukul 1.30 sampai 2.30pm.
“Saya sangat menghargai pelanggan kita sebab mereka memang sangat-sangat sokong dan bagi semangat baharu untuk kekalkan lagi Vietnam rolls,” katanya ketika ditemui di gerai jualannya di Taman Uda, Pengkalan Chepa, baru-baru ini.
Gilang berkata, keenakan hidangan tersebut bukan terletak pada isinya sahaja, malah setiap sos yang disediakan perlu menepati citarasa ramai.
“Kita ada dua jenis sos, sos merah itu dia macam sos thai, tapi itu kita buat sendiri kita bukan ambik yang siap ke itu tak, kita buat sendiri.
“Kita kekalkan kita punya sos tu sebab ramai minta bagi rasa sos itu kekal,” katanya.
Tambahnya, setakat ini, dia menyediakan 10 jenis Vietnam rolls dan dijual pada harga RM11 untuk empat biji.
Katanya, antara bahan yang digunakan untuk membuat hidangan itu adalah kertas beras, suhun dan sayur-sayuran kemudian digulung menggunakan 10 tenaga pekerja.
“Untuk 10 jenis kita ada daging harimau menangis, daging black pepper, chicken grill black pepper, hot chicken peperoni, chicken slice, cheesy sausage, ramen, crab, crab stick, prawn,” katanya.
Jelasnya, antara Vietnam rolls yang digemari ramai ialah perisa daging harimau menangis dan ‘black pepper’ kerana kombinasi rasa yang unik, menjadikannya pilihan utama pelanggan yang menginginkan kelainan dalam setiap gigitan.
IMedikel TV






