Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
GERIK: Sekurang-kurangnya 15 maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dan sebuah kenderaan jenis MPV di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik awal pagi tadi.
Menurut laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terdapat 48 mangsa keseluruhan terlibat.
Menurut kenyataan itu 13 mangsa maut di lokasi, manakala dua lagi meninggal dunia di Hospital Gerik.
Difahamkan ketika ini, tujuh mangsa berada dalam zon merah, 20 zon kuning, dan enam dalam zon hijau.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.04 pagi dan jentera pertama tiba di lokasi kira-kira jam 2.05 pagi, melibatkan perjalanan sejauh 60 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik.
Pegawai Bomba Kanan (PBK) I (KUP) Kamarul Ariffin Abd Ghani dalam kenyataan berkata kemalangan dipercayai berlaku ketika kedua-dua kenderaan dalam perjalanan dari Jeli ke Gerik sebelum bas yang membawa 44 penumpang, termasuk 42 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, terbabas dan terbalik di atas lebuh raya manakala Perodua Alza turut terbabas ke dalam parit.

“Semasa jentera sampai didapati kemalangan membabitkan mangsa seramai 48 orang.Terdapat mangsa yang berjaya keluar dengan sendiri, ada mangsa yang tercampak keluar dan ada mangsa yang masih berada di dalam bas.
“Setakat ini seramai 13 mangsa disahkan meninggal dunia dan 31 orang cedera (bas) dan 3 mangsa mengalami kecederaan ringan dan seorang mangsa mengalami patah tangan (Perodua Alza) dikeluarkan orang awam sebelum pihak bomba tiba,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasukannya mengaplikasikan konsep penyelamatan “saver” dengan membuat pemotongan struktur di bahagian belakang bas menggunakan peralatan hidraulik khas untuk membuka ruang kerja.
“Hasil tindakan itu, kami menemui enam mangsa di dalam bas, dua cedera parah dan empat meninggal dunia namun tidak tersepit. Semua mangsa yang cedera telah distabilkan dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
“Mangsa yang maut telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala yang cedera dihantar ke hospital menggunakan EMRS JBPM, ambulans KKM dan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.
Operasi menyelamat membabitkan kekuatan 17 anggota bomba dari BBP Gerik dan BBP Jeli, dibantu 10 anggota polis, 21 petugas KKM dan 4 anggota APM.
Operasi disahkan terkawal pada jam 5.40 pagi dan tamat sepenuhnya pada 6.28 pagi.
IMedikel TV






