Home Buletin Semasa 14 WARGA MYANMAR DICEKUP CUBA MASUK NEGARA SECARA HARAM

14 WARGA MYANMAR DICEKUP CUBA MASUK NEGARA SECARA HARAM

34
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan berjaya menggagalkan cubaan 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar memasuki negara ini melalui laluan tidak diwartakan di sekitar tebing sungai Kutan Hilir, Pasir Pekan, baru-baru ini.

Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, tangkapan itu dibuat hasil maklumat risikan mengenai aktiviti penyeludupan migran yang dipercayai menggunakan laluan sungai di kawasan berkenaan.

“Bot ronda Maritim Malaysia yang melaksanakan rondaan menerusi Op Naga, Op Damai, Op Pelantar Merah dan Op Tiris di sekitar perairan Sungai Kelantan mengesan sebuah bot laju dalam keadaan bergelap dan mencurigakan menuju ke tebing sungai berhampiran Kampung Kedai Buloh kira-kira jam 9.58 malam.

“Bagaimanapun, bot tersebut berjaya meloloskan diri apabila memecut ke laluan sungai yang sempit dan cetek, selain keadaan gelap yang menyukarkan bot ronda menghampiri lokasi berkenaan.

“Susulan itu, Pasukan Operasi Darat Maritim Malaysia segera digerakkan ke tebing sungai Kutan Hilir bagi memintas pergerakan kumpulan terbabit,” katanya pada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil pencarian yang dijalankan menemukan sembilan individu dipercayai PATI berhimpit di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna putih, manakala lima lagi ditemui bersembunyi di kawasan semak berhampiran tebing sungai berkenaan pada 10 Jun lalu.

Katanya, kesemua 14 individu terbabit berjaya ditahan sekitar jam 11 malam pada hari kejadian.

“Pemeriksaan ke atas MPV tersebut turut membawa kepada penemuan sebuah beg berwarna hitam yang mengandungi kad pengenalan milik seorang warganegara Malaysia yang dipercayai berperanan sebagai tekong darat,” katanya.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua yang ditahan berusia antara 16 hingga 39 tahun, terdiri daripada 12 lelaki dan dua wanita warga Myanmar.

Menurut Kamal, hanya lima daripada mereka memiliki pasport, namun gagal mengemukakan rekod perjalanan yang sah untuk memasuki Malaysia, manakala sembilan lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah.

Kesemua PATI terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki berada di Malaysia tanpa dokumen pengenalan dan rekod perjalanan yang sah.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Maritim Malaysia akan terus mempertingkat rondaan serta operasi penguatkuasaan di perairan negeri ini bagi membanteras jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan migran.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di perairan atau kawasan pesisir pantai diminta menyalurkan maklumat melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan di talian 09-7780070.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here