Home Buletin Semasa KPDN TUMPAS CUBAAN SELUDUP PETROL BERSUBSIDI GUNA TANGKI UBAH SUAI

KPDN TUMPAS CUBAAN SELUDUP PETROL BERSUBSIDI GUNA TANGKI UBAH SUAI

35
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

TUMPAT: Cubaan menyeludup petrol bersubsidi menggunakan kenderaan yang diubah suai bagi menampung kapasiti bahan api melebihi had asal berjaya dipatahkan dalam satu operasi bersepadu di sebuah stesen minyak di Terbak, di sini, pagi tadi.

Operasi itu membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Pengarah KPDN Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, operasi kira-kira jam 7.30 pagi itu berjaya menahan sebuah kenderaan tempatan yang disyaki telah diubah suai tangki minyaknya untuk menyimpan petrol dalam kuantiti yang jauh lebih besar daripada kapasiti asal.

“Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut membawa sebanyak 120 liter petrol sedangkan kapasiti tangki asal hanya sekitar 50 liter. Ini menunjukkan kapasiti simpanan telah ditambah lebih 200 peratus berbanding spesifikasi asal.

“Seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, nilai rampasan petrol dianggarkan sebanyak RM496 manakala nilai kenderaan yang disita dianggarkan RM5,000, menjadikan keseluruhan nilai sitaan berjumlah RM5,496.

Katanya, siasatan mendapati kedua-dua pihak iaitu pemandu kenderaan dan stesen minyak yang terlibat mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan penguatkuasaan bekalan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan melakukan kesalahan, manakala stesen minyak terbabit disiasat kerana disyaki melakukan jualan berulang di bawah Perkara 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Mengulas mengenai trend penyeludupan petrol bersubsidi, beliau berkata sindiket kini mengubah modus operandi dengan bergerak pada waktu puncak, khususnya pada awal pagi ketika keadaan lalu lintas sibuk.

“Mereka beranggapan tiada operasi penguatkuasaan ketika orang ramai menghantar anak ke sekolah dan menuju ke tempat kerja.

“Namun saya ingin tegaskan bahawa KPDN bersama agensi penguat kuasa lain menjalankan operasi 24 jam sehari tanpa mengira masa,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengingatkan pengguna supaya segera membuat aduan kepada KPDN sekiranya mendapati berlaku ketidakselarasan harga atau timbangan ketika membeli barangan, termasuk ayam.

Beliau berkata antara aduan yang sering diterima ialah harga yang dibayar tidak sama dengan harga yang dipamerkan serta ketidaktepatan timbangan yang menyebabkan pengguna dikenakan bayaran lebih tinggi daripada sepatutnya.

“Kepada peniaga, pastikan mesin timbang ditentusahkan mengikut peraturan iaitu setiap 12 bulan sekali bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here