Home Buletin Semasa 13 PENTERNAK IKAN SANGKAR DI LIPIS TERIMA BANTUAN RM105,000

13 PENTERNAK IKAN SANGKAR DI LIPIS TERIMA BANTUAN RM105,000

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUALA LIPIS: Jabatan Perikanan Pahang mengagihkan bantuan berbentuk input perikanan bernilai RM105,000 kepada seramai13 penternak ikan sangkar daerah ini.

Bantuan di bawah Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan Akuakultur 2026 membabitkan kluster dan komuniti diberikan bagi meringankan beban golongan terbabit.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Roslan Abu Hasan, berkata selain sangkar, makanan ikan dan pelbagai peralatan turut disediakan benih ikan spesies terpilih seperti patin, tilapia, lampam sungai dan kerai.

Menurutnya, bantuan yang diberikan kepada kumpulan sasar itu diharap dapat membantu meningkatkan pengeluaran ikan air tawar di daerah ini seterusnya dapat menambahkan lagi pendapatan golongan terbabit.

“Setiap tahun jabatan menyediakan bantuan kepada golongan penternak ikan sangkar di negeri ini, mereka menjadikan Sungai Pahang sebagai lokasi projek ekonomi berkenaan terutama di daerah ini, Jerantut, Pekan, Temerloh dan Maran.

“Bantuan disediakan oleh jabatan termasuk kerajaan negeri yang ingin memastikan sektor perikanan darat dapat terus berkembang seterusnya menjadi produk utama di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Libat Urus dan Pelepasan Benih Ikan ke Perairan Umum di Kampung Melayu Benta, dekat sini.

Terdahulu program itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak.

Pada program berkenaan disampaikan bantuan SPEKS Biosekuriti Perikanan bernilai RM15,000 dan Bantuan Input Penternakan kerajaan negeri kepada dua Pengusaha Akuakultur bernilai RM4,990.

Turut disampaikan bantuan benih ikan Tilapia sebanyak 5,000 ekor kepada 10 tan pengusaha akuakultur yang menjalankan projek ternakan ikan air tawar.

Bantuan jaket keselamatan diberikan kepada 16 nelayan darat. Benih ikan Tilapia dibekalkan oleh Pusat Pengembangan Akuakultur Bukit Tinggi, Bentong.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here