Home Hiburan ZIZIE KUAT TAPI ADA SISI RAPUH – SHAHEIZY SAM

ZIZIE KUAT TAPI ADA SISI RAPUH – SHAHEIZY SAM

KUALA LUMPUR: Shaheizy Sam menyifatkan kakaknya, Datin Seri Zizie Izette sebagai wanita kuat, namun, mengakui setiap insan ada sisi rapuh yang mungkin hanya ditunjukkan ketika bersendirian.

Memetik laporan Berita Harian, Sam, 43, berkata Zizie dilihat semakin tenang dan reda mengharungi kehidupan selepas melalui pelbagai perkara termasuk pemergian suami, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Disember tahun lalu.

“Kakak nampak okay dan memang kuat daripada segi mental dan fizikal. Tetapi, sekuat mana pun seseorang, apabila bersendirian, kita tidak tahu keadaan sebenar mereka.

“Dia memang tidak banyak bercerita atau mengadu. Kalau bersama keluarga, dia lebih banyak bergurau,” katanya ketika ditemui pada majlis penghargaan filem Chelot di sini, hari ini.

Sam menggalakkan Zizie meneruskan kehidupan dengan memberi tumpuan kepada masa depan termasuk meneroka bidang perniagaan.

“Saya cuba galakkan dia untuk berniaga. Apa yang boleh dibuat, kita buat. Dia perlu teruskan kehidupan, cari rezeki dan pada masa sama, menguruskan anak-anak.

“Saya nampak dia sudah mula ke arah itu dan ada perancangan menjalankan perniagaan seperti biskut, pakaian dan sebagainya,” katanya.

Zizie berkahwin dengan Allahyarham Bung Moktar pada 2009 dan dikurniakan tiga cahaya mata selain membesarkan dua anak angkat.

Allahyarham Bung Moktar meninggal dunia pada 5 Disember tahun lalu sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here