Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
GUA MUSANG: Seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun ditahan selepas polis menemukan kira-kira 2,000 biji pil disyaki dadah jenis yaba dalam sebuah kereta di Kilometer 18, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang sedang menjalankan sekatan pemeriksaan atau snap check sebelum menahan sebuah Toyota Vios untuk pemeriksaan.
“Bagaimanapun, pemandu kenderaan terbabit bertindak melarikan diri sebelum berjaya ditahan selepas dikejar anggota polis.
“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemukan kira-kira 2,000 biji pil disyaki yaba dengan anggaran berat 200 gram dan nilai sekitar RM30,000,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing suspek turut mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya selain dadah, polis turut merampas sebuah kereta, satu unit kunci kereta dan dua telefon bimbit bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
IMedikel TV






