Home Buletin Semasa PELBAGAI BARANGAN JENAMA TIRUAN BERNILAI RM3.15 JUTA DILUPUSKAN 

PELBAGAI BARANGAN JENAMA TIRUAN BERNILAI RM3.15 JUTA DILUPUSKAN 

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang terus mempergiat usaha membanteras penjualan barangan tiruan apabila melupuskan 58,941 unit pelbagai barangan bernilai hampir RM3.15 juta yang selesai melalui proses perundangan dan tindakan kompaun sepanjang sembilan bulan tahun ini.

Pengarah KPDN negeri, S Jegan, berkata pelupusan itu membabitkan 140 kes yang telah selesai melalui proses perundangan sebelum barang sitaan dilucut hak untuk dijadikan hasil kerajaan.

Beliau berkata, barangan yang dilupuskan terdiri daripada pakaian, beg, aksesori wanita, alat ganti kenderaan, aksesori motosikal, alatan jentera, produk makanan dan penjagaan kesihatan serta aksesori dan peranti elektronik.

“Semua barangan berkenaan dirampas menerusi aktiviti penguatkuasaan dan pemeriksaan yang dijalankan berkaitan bekalan, harga, antipencatutan, ketirisan barang kawalan, barang tiruan, halal, sewa beli, skim anti-piramid, jualan langsung serta penipuan dalam talian.

“Ia membabitkan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Cap Dagangan 2019 serta Akta Perlindungan Pengguna 1999,” katanya pada sidang media di Kompleks Penyimpanan Ekshibit KPDN Pulau Pinang di Bukit Minyak, hari ini.

Mengulas prestasi penguatkuasaan negeri, Jegan berkata, sepanjang tempoh 1 Januari hingga September ini, KPDN Pulau Pinang telah menjalankan pemeriksaan terhadap 58,805 premis di seluruh negeri.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan itu membawa kepada 761 tindakan kes membabitkan pelbagai kesalahan di bawah akta yang dikuatkuasakan kementerian.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 565 kes dikenakan kompaun dengan nilai keseluruhan RM591,100,” katanya.

Beliau berkata, selain tindakan kompaun, sebanyak 12 kes dibawa ke mahkamah dan berjaya diselesaikan dengan jumlah keseluruhan denda RM94,500.

“Nilai keseluruhan barang kes yang dilupuskan bagi tempoh itu adalah hampir RM3.15 juta,” katanya.

Jegan berkata, pelaksanaan pelupusan dan pelucuthakan barang kes adalah sebahagian daripada proses penguatkuasaan yang dilaksanakan secara teratur serta mematuhi semua peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Menurutnya, langkah itu mencerminkan pengurusan barang kes yang dilaksanakan secara sistematik, telus dan berintegriti selepas sesuatu kes selesai melalui proses perundangan yang ditetapkan.

“Pada masa sama, hasil daripada pelupusan ini turut menyumbang kepada pengurusan hasil kerajaan selaras dengan ketetapan serta tatacara yang sedang berkuat kuasa,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here