Home Buletin Semasa CEROBOH HSK TASEK BERA 7,000 HEKTAR, KETIRISAN HASIL KERAJAAN PAHANG RM387.8 JUTA

CEROBOH HSK TASEK BERA 7,000 HEKTAR, KETIRISAN HASIL KERAJAAN PAHANG RM387.8 JUTA

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

BERA: Ketirisan hasil Kerajaan Pahang dianggarkan mencecah RM387.8 juta berlaku berikutan kegiatan meneroka secara haram Hutan Simpanan Kekal (HSK) Tasek Bera, di sini.

Kawasan hutan yang diwartakan sebagai Tapak Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) Tasik Bera itu diteroka secara haram membabitkan keluasan lebih 7,000 hektar.

Timbalan Pengarah Perhutanan (Operasi) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Dr Grippin Anak Akeng, berkata jumlah ketirisan berkenaan adalah berdasarkan anggaran nilai RM55,400 bagi setiap hektar tanah diteroka.

Katanya, merujuk nilai stumpej atau nilai ekonomi pokok balak bagi negeri ini ialah RM55,400 per hektar didarab dengan nilai keluasan tanah yang diteroka iaitu dianggarkan 7,000 hektar, bersamaan dengan RM387.8 juta.

Bagaimanapun, menurutnya nilai berkenaan merupakan anggaran kasar dan jumlah sebenar hanya dapat ditentukan selepas bancian terperinci dilaksanakan di lapangan atau didalam hutan.

“Hutan Simpan Kekal Tasek Bera yang menempatkan tapak Ramsar diiktiraf sejak 1994 dan kini berdepan ancaman serius apabila lebih 7,000 hektar kawasan diteroka secara haram dengan tanaman sawit, getah dan pelbagai tanaman kontan.

“Operasi bersepadu tindakan penguatkuasaan bersepadu Hutan Simpan Kekal (HSK) Tasek Bera membabitkan lima agensi penguat kuasa dilakukan bermula 14 September lalu, bertujuan menyekat kegiatan penerokaan hutan secara haram di situ,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Saifullah Muhammad Ali, berkata pihaknya mengesahkan jumlah keluasan kawasan terlibat selari dengan pelan pemetaan kawasan penerokaan yang dilakukan pihaknya.

“Berdasarkan pelan pemetaan yang dilakukan UPNP, kawasan disyaki diteroka dalam Hutan Simpan Kekal Tasek Bera dengan tanaman sawit, getah, kelapa, tanaman kontan, serta pembukaan baharu adalah seluas kira-kira 7,163 hektar.

“Kawasan yang diteroka ini juga berdasarkan semakan imej satelit melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA),” katanya.

Operasi yang dijalankan selama sebulan bermula 14 September lalu menimbul rasa tidak puas hati dikalangan masyarakat Orang Asli beberapa kampung.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here