KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli teruja untuk beraksi di Grand Prix (GP) Jepun yang membuka tirai siri perlumbaan di rantau Asia bermula Jumaat hingga Ahad ini.
Memetik laporan Berita Harian, pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI itu mahu memanfaatkan perlumbaan di Motegi untuk mencatat keputusan positif sebelum saingan menuju ke Indonesia, Australia dan kemudian Malaysia.
“Hujung minggu ini adalah minggu perlumbaan bagi GP Jepun dan saya amat teruja untuk memulakan siri pusingan di Asia. Saya sememangnya menantikan perlumbaan ini dan bertekad untuk memberikan persembahan yang terbaik di Motegi.
“Strategi saya adalah cuba melakukan permulaan yang mantap seawal hari pertama lagi. Saya mahu bermula dengan rentak yang baik, kekal fokus serta memastikan saya sentiasa kompetitif dalam setiap sesi latihan mahupun sesi kelayakan.
“Saya dan pasukan akan bekerja keras sepanjang minggu ini demi memastikan jentera berada pada tahap optimum untuk mengutip mata maksimum hingga ke pusingan di Malaysia nanti,” katanya.
Selepas GP Jepun, saingan akan beralih ke GP Indonesia pada 9 hingga 11 Oktober, diikuti GP Australia dari 22 hingga 25 Oktober sebelum kemuncaknya di laman sendiri pada GP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 30 Oktober hingga 1 November.
Aksi di Sepang pastinya menjadi tumpuan buat Hakim Danish yang dijangka mendapat sokongan padu penyokong tuan rumah dalam misi meneruskan momentum positifnya.
Pelumba kelahiran Teregganu itu kini berada di tangga ketujuh keseluruhan dengan mengumpul 101 mata selepas 15 pusingan perlumbaan.
Dia hadir ke Jepun dengan rentak positif selepas menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan pada GP Austria minggu lalu.
Keputusan itu menyaksikan Hakim Danish merekodkan penamat dalam kelompok 15 terbaik untuk tiga perlumbaan berturut-turut. – BH Online –
IMedikel TV






