Home Buletin Semasa YOKUK, YAYASAN HASANAH BANTU USAHAWAN IKS PASAR GUNA TEKNOLOGI LARISKAN PRODUK

YOKUK, YAYASAN HASANAH BANTU USAHAWAN IKS PASAR GUNA TEKNOLOGI LARISKAN PRODUK

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

KOTA BHARU: Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK) dan Yayasan Hasanah membantu usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Pasar Siti Khadijah menerusi bimbingan penggunaan teknologi bagi melariskan jualan.

Pengurus Besar YOKUK Sulaini Mat Il berkata Program Projek Pemerkasaan Digital Peniaga Kecil Pasar Siti Khadijah akan diadakan selama dua tahun bermula Mei depan hingga Mei 2026.

“Program bimbingan melibatkan 60 peniaga, dijalankan secara berperingkat melibatkan 30 orang bagi sesi pertama bermula Mei tahun ini hingga Mei tahun hadapan, manakala 30 peniaga lagi akan menyertai program ini bagi sesi kedua yang berakhir hingga 2026.

“Usaha ini dijalankan bertujuan membolehkan usahawan terutama peniaga veteran mampu menggunakan teknologi media sosial seperti TikTok dan Facebook untuk melariskan produk dari Kelantan,” katanya selepas program Majlis Apresiasi dan Reunion Raya Golongan kurang upaya (OKU) Menjaana Pendapatan dan Program IQ4OKU, di Pengkalan Chepa, Khamis lalu.

Sulaini berkata usaha tersebut juga dilakukan bagi melatih peniaga IKS menerusi dua cabang iaitu pemasaran secara fizikal dan pemasaran atas talian.

“Apa yang akan kita buat ialah melatih mereka melalui bengkel secara bersiri dan ada modul khas serta bimbingan secara individu daripada tenaga pengajar bertauliah.

“Sebelum ini kita sudah melakukan program teknologi yang membantu golongan OKU menjana pendapatan melalui perniagaan atas talian, rentetan itulah kita mahu berkongsi pengalaman dengan menganjurkan program kepada peniaga Pasar Siti Khadijah,” katanya.

Menurutnya antara bidang perniagaan yang dipilih ialah pakaian, makanan kering seperti keropok dan serunding, kraftangan, barangan logam serta tembaga.

Katanya tenaga pengajar juga akan sentiasa memantau menerusi laporan jualan mingguan selama tempoh setahun bagi membolehkan hasil kejayaan kepada peniaga pasar tersebut.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here