Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Yayasan Orang Kurang Upaya (YOKUK) mengambil inisiatif dalam membantu pelajar pendidikan khas untuk beralih ke arus perdana menerusi kelas tuisyen secara percuma.
Pengerusi YOKUK, Sulaini Mat II dalam satu kenyataan berkata, program peningkatan pencapaian itu berlangsung selama setahun dengan kerjasama Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan Malaysia, di bawah Geran Khas Hasanah (HSG) 2023.
“Program itu melibatkan 300 pelajar daripada 13 sekolah, sehingga kini seramai 131 pelajar telah berjaya dikeluarkan menerusi program ini selepas enam bulan dijalankan dan mereka kini berada di arus perdana bersama rakan-rakan perjuangan yang lain.
“Sebelum ini, kelas tuisyen disediakan kepada pelajar di kelas pilihan atau kelas berprestasi tinggi namun kali ini kita beri peluang terutamanya kepada mereka yang masih belum dapat menguasai 3M iaitu membaca, mengira dan menulis,” katanya.
Jelasnya, program tersebut merupakan projek rintis yang pertama kali diadakan di Kelantan mengikut modul yang dibekalkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Puteh.
“Pelajar tersebut dibekalkan dengan modul, alat tulis, makan tengahari secara percuma dan hadiah sebagai ganjaran serta alat bantuan mengajar kepada guru yang terlibat.
“Mereka perlu diberi sokongan dan dorongan tambahan untuk menarik minat ke arah pembelajaran malah sekaligus kita dapat mengurangkan jurang dalam sistem pembelajaran di Malaysia,” katanya.
Tambah Sulaini, dia berharap program tersebut dapat menyingkatkan tempoh masa mereka di kelas pemulihan seterusnya dapat mempercepat perjalanan mereka berjuang dalam pelajaran bersama rakan-rakan sebaya yang lain,
Imedikel TV






