Home Buletin Semasa AROMA IKAN BEKOK PUKAU SELERA

AROMA IKAN BEKOK PUKAU SELERA

246
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

BACHOK: Ikan bengkak atau dikenali sebagai ikan “bekok” begitu popular dalam kalangan rakyat di negeri Che Siti Wan Kembang.

Malah, tidak pernah putus menjadi buruan ramai untuk menikmati sajian ikan tersebut.

Seorang pengusaha ikan bekok dan ikan masin, dari Kampung Perupok, Hazwana Mohd Nor, 60, ketika ditemui, berkata aroma ikan bekok menjadi daya tarikan kepada peminat ikat tersebut.

“Ikan bekok ini mempunyai aroma kesedapannya tersendiri tetapi ianya berbeza dengan ikan masin kerana ikan itu kurang masin dan sering dijadikan sebagai pembuka selera apabila dimakan bersama nasi panas.

“Ia merupakan ikan yang diproses menggunakan garam kemudian dijemur selama sehari agar separa kering dan tidak perlu dijemur berhari-hari seperti penghasilan ikan masin,” katanya ketika ditemui pemberita di Gerai Ikan Masin Viral Perupok, di sini, semalam.

Hazwana yang juga dikenali sebagai Kak Na berkata, dia sudah memproses ikan bekok dan ikan masin selama 35 tahun dan dapat menghasilkan sebanyak 100 hingga 200kilogram (kg) sehari bergantung kepada nelayan upahannya yang turun ke laut.

Tambahnya, bagi menghasilkan ikan tersebut, dia menggunakan ikan gelama, cencaru, seliat, dan pari kerana rasanya yang dapat memukau selera peminatnya.

“Yang paling mendapat permintaan ramai ialah ikan gelama gigi disebabkan rasa isi ikan yang lemak berbanding ikan lain.

“Harga ikan yang dijual bermula dari RM14 hingga RM50 sekilogram namun sekiranya pembeli ingin membeli dengan kuantiti kurang dari sekilogram, saya akan jual juga,” katanya.

Justeru, Hazwana berkata jualannya kini mendapat sambutan ramai termasuk pelanggan dari negeri luar.

“Kalau cuaca hujan, saya tidak dapat menjemur ikan, jadi saya akan simpan dahulu di dalam peti sejuk beku tetapi, orang ramai lebih suka makan ikan bekok ketika cuaca hujan dan alhamdulillah walaupun hujan jualan saya laris.

“Meskipun nelayan tidak dapat turun ke laut, saya masih boleh mendapat stok ikan gelama mentah daripada negeri luar,” katanya.

Selain itu, Hazwana turut membuka tempahan bagi mereka yang ingin menempah ikan bekok atau ikan masin dalam kuantiti yang banyak.

“Biasanya orang yang membuat kenduri akan tempah ikan bekok dan ikan masin sebulan awal supaya saya boleh menghasilkan ikan tempahannya terlebih dahulu,” katanya.

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here