TOKYO: Bekas pelari pecut Colombia, Ximena Restrepo mengesahkan hasrat untuk bertanding merebut jawatan Presiden Olahraga Dunia (WA) apabila tamat penggal Sebastian Coe, sekali gus berpotensi mencipta sejarah sebagai wanita pertama menerajui badan induk olahraga dunia itu.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro Ximena, 56, yang kini menjawat jawatan Naib Presiden Pertama WA, berkata, beliau sudah bersedia untuk mencabar jawatan berkenaan walaupun sedar persaingan bakal sengit.
“Saya akan bertanding jawatan presiden. Ia bukan mudah kerana saya tahu ada dua lagi calon yang hebat, tetapi ini adalah sesuatu yang saya mahu lakukan. Ia beri saya motivasi besar untuk mencuba,” katanya kepada AFP di Kejohanan Dunia Olahraga di Tokyo.
Coe, 68, sebelum ini dikaitkan dengan peluang menjadi Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), namun kekalahan beliau kepada bekas perenang Zimbabwe, Kirsty Coventry, menyaksikan beliau kekal menamatkan penggal ketiga dan terakhir sebagai Presiden WA.
Ximena, pemenang pingat gangsa acara 400 meter di Sukan Olimpik Barcelona 1992, menegaskan sudah tiba masa wanita diberikan ruang memimpin olahraga dunia.
“Ini sesuatu yang penting untuk masa depan sukan. Kita perlu terus bergerak ke depan dan membawa lebih ramai peminat baharu ke dalam olahraga,” ujarnya.
Beliau bersama Coe kini menaruh harapan terhadap kejohanan baharu, Kejohanan Olahraga Ultimate Dunia yang akan dianjurkan di Budapest tahun depan bagi mengisi kekosongan kalendar tanpa kejohanan dunia.
“Ini sangat penting kerana tahun depan tiada acara utama. Kejohanan Ultimate akan jadi penutup hebat musim, untuk atlet dan peminat. Mereka akan saksikan yang terbaik dunia hanya dalam tiga hari,” kata Restrepo.
Format baharu itu turut menawarkan ganjaran lebih lumayan berbanding Kejohanan Dunia selain mengurangkan jumlah pusingan yang perlu dilalui atlet. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






