Home Buletin Semasa JPJ KELANTAN CATAT PENINGKATAN KES LEBIH MUATAN

JPJ KELANTAN CATAT PENINGKATAN KES LEBIH MUATAN

324
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan merekodkan sebanyak 1,080 kes lebih muatan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, meningkat berbanding 890 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarahnya, Mohd Misuari Abdullah, berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara iaitu 190 kes.

“Bagi kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD), berlaku sedikit penurunan apabila hanya 13 kes direkodkan tahun ini berbanding 16 kes tahun lalu.

“Antara muatan yang kerap dikesan melebihi had termasuk bahan binaan seperti batu, pasir, tanah dan balak, selain bahan mentah industri, bijih besi dan batu bongkah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Paluan Berundur Timbalan Pengarah JPJ Kelantan, Mohamad Apandi Jusoh, di sini, hari ini.

Katanya, dalam tempoh yang sama jumlah kompaun turut meningkat kepada RM126,000 berbanding RM58,000 tahun lalu, namun kutipan denda mahkamah menurun kepada RM18,000 berbanding RM297,000 pada 2024.

Sementara itu, JPJ Kelantan turut memeriksa 5,358 kenderaan pelbagai jenis sepanjang Ops Khas Gempur Kenderaan Perdagangan yang dijalankan bermula 1 hingga 17 September lalu.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 1,329 kenderaan dikenakan tindakan dengan 3,130 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, termasuk 274 kes lebih muatan dan 73 kes membawa muatan berbahaya.

“Notis tertinggi dikeluarkan ialah Notis Saman P(22) sebanyak 2,415 keping, manakala 108 Notis Arah Timbang dikeluarkan terhadap kenderaan yang disyaki membawa muatan melebihi had ditetapkan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here