Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TUMPAT: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang di laut selepas keluar menangkap ikan sejak semalam di Pantai Geting, dekat sini.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I (KUP) Mohd Zaidi Yahya@ Hamzah, berkata mangsa berumur 71 tahun itu dipercayai keluar ke laut pada jam 3 petang semalam namun tidak pulang sehingga hari ini, menyebabkan keluarganya membuat laporan kepada pihak berkuasa.
“Kami menerima panggilan kecemasan melalui sistem MERS 999 pada jam 12.30 tengah hari sebelum menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Pengkalan Kubur ke lokasi.
“Komander operasi lapor sampai di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Maritim dan maklumat diperolehi mengatakan seorang mangsa lelaki dewasa berumur 71 tahun dan sebuah bot tidak balik ke rumah sejak dari semalam hingga hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut disertai pelbagai agensi termasuk Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam.
“Seramai 44 anggota dengan kekuatan dua bot Maritim, satu bot Bomba, satu bot APM serta dua bot orang awam digerakkan dalam operasi ini.
“Misi pencarian dijalankan secara pemeriksaan permukaan air dari pesisir Pantai Pengkalan Kubur hingga ke Kuala Besar,”katanya.
Bagaimanapun sehingga jam 5.55 petang, mangsa masih gagal ditemui dan operasi SAR ditangguhkan serta akan disambung semula pada esok pagi.
IMedikel TV






