Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PASIR MAS: Seorang warga emas hampir pitam selepas mengaku bersalah di mahkamah majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencuri wang kahwin berjumlah RM2,500 pada majlis perkahwinan di Kampung Tasek Berangan, di sini, pada 1 Februari lalu.
Tertuduh Tuan Maimun Che Tuan, 61 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi.
Tuan Maimun dikenakan hukuman penjara 24 bulan dan denda RM3,000, dan diarah dipenjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah melakukan curi dalam bangunan yang digunakan sebagai tempat menyimpan harta RM2500 milik Norhayati Mohd Noor, 59 di Kampung Tasek Berangan, di sini pada 12.42 tengahari, 1 Februari lalu.Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syazalia Che Suhaimi, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nur Amira Mat.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pengadu pergi ke rumah ibunya di Kampung Tasek Berangan, di sini, bagi menghadiri kenduri kahwin anak saudaranya dan telah meletakkan beg tangan miliknya di atas almari bahagian dapur rumah.
Apabila pengadu mahu pulang, dia mendapati beg tangan miliknya yang mengandungi wang tunai berjumlah RM2,500 telah hilang dan hasil pemeriksaan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di bahagian dapur rumah didapati tertuduh mengambil beg tangan terbabit.
Terdahulu, Syazalia memohon hukuman setimpal dikenakan memandangkan kes tersebut mendapat perhatian umum.
“Walaupun tertuduh dituduh dan mengakuinya namun dia tidak insaf,” katanya.
Bagaimanapun, Nur Amira memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan atas alasan anak guamnya berusia 61 tahun, mempunyai enam anak namun tinggal seorang diri dan tidak mempunyai pendapatan tetap memandangkan dia hanya menjual kuih selain menghidap penyakit kolesterol, darah tinggi dan penyakit usus serta masih dalam rawatan.
Mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara terhadap warga emas terbabit bermula hari ini.
IMedikel TV






