SULAWESI: Seorang lelaki berusia 63 tahun, warga Kabupaten Buton Selatan, Sulawesi Tenggara, Indonesia ditemui maut ditelan ular sawa batik sepanjang lapan meter pada Sabtu.
Memetik laporan AGENSI menerusi Berita Harian penduduk setempat menemukan jasad mangsa masih dalam perut ular sawa itu, jarak sekitar 500 meter dari perkampungan di Jalan Usaha Tani.
Ketua Bahagian Kecemasan dan Logistik Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) Buton Selatan, La Ode Risawal, berkata mangsa yang juga penduduk Kampung Majapahit, dilaporkan hilang sejak pagi Jumaat lalu.
“Kami menerima laporan daripada penduduk yang memaklumkan mangsa tidak pulang ke rumah selepas keluar ke kebun.
“Keluarga dan penduduk mula membuat pencarian, dan ketika kami sedang berbincang dengan Pos Mencari dan Menyelamat (SAR) Baubau, kami menerima maklumat mangsa sudah ditemui,” katanya.
Risawal berkata, penduduk yang melakukan pencarian menemui seekor ular sawa dengan perutnya yang besar di kawasan kebun.
“Mereka mengesyaki mangsa berada dalam perut ular itu lalu membawanya pulang ke kampung.
“Warga kemudian membelah perut reptilia itu dan menemukan mangsa dalam keadaan tidak bernyawa,” katanya.
Adegan menyayat hati itu turut disaksikan oleh anggota keluarga mangsa yang menangis histeria. Jasad mangsa kemudian dibawa pulang ke rumah untuk dikebumikan.
Menurutnya, ini adalah kali keempat ular sawa sepanjang lapan meter muncul berhampiran penempatan penduduk di Buton Selatan.
Sehubungan itu, Risawal menasihati penduduk supaya lebih berhati-hati dan tidak keluar bersendirian untuk melakukan aktiviti di kebun. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






