Home Sukan PSG MAHU ‘LANGKAH PEMBETULAN’ SELEPAS DEMBELE, DOUE CEDERA

PSG MAHU ‘LANGKAH PEMBETULAN’ SELEPAS DEMBELE, DOUE CEDERA

PARIS: Paris Saint-Germain (PSG) berkata pasukan perubatan Perancis mengabaikan saranan mereka mengenai risiko kecederaan dan beban kerja pemain kelab selepas Ousmane Dembele dan Desire Doue mengalami kecederaan ketika aksi kelayakan Piala Dunia menentang Ukraine, minggu lalu.

Memetik laporan REUTERS menerusi Berita Harian penyerang Dembele dijangka berehat sekitar enam minggu susulan kecederaan hamstring kiri manakala pemain sayap Doue akan diketepikan kira-kira empat minggu kerana masalah betis selepas mereka tercedera ketika membantu kemenangan 2-0 ke atas Ukraine di Poland.

Juara Eropah PSG berkata semalam mereka menuntut “protokol koordinasi perubatan-sukan yang lebih telus dan kolaboratif antara kelab dan pasukan kebangsaan” dalam sepucuk surat kepada Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF).

“(PSG) sudah menghantar maklumat perubatan konkrit, bahkan sebelum skuad kebangsaan Perancis memulakan latihan, mengenai beban kerja yang boleh diterima dan risiko kecederaan pemain,” menurut kelab itu dalam satu kenyataan.

“Kelab kesal kerana saranan perubatan ini tidak diambil kira oleh pasukan perubatan skuad kebangsaan Perancis dan tiada sebarang rundingan dengan pasukan perubatan kelab dilakukan.”

PSG berkata pertukaran maklumat antara kelab dan pasukan perubatan Perancis perlu didokumentasikan dan prinsip berjaga-jaga harus diikuti ketika memilih pemain bagi tugasan negara, khususnya apabila mereka sedang menjalani rawatan.

“Peristiwa serius dan boleh dielakkan baru-baru ini mesti membawa kepada langkah pembetulan segera dan pantas,” menurut kenyataan itu.

Jurulatih Perancis, Didier Deschamps mempertahankan keputusannya menurunkan Dembele dengan berkata penyerang itu berada dalam keadaan cergas walaupun digantikan ketika aksi Ligue 1 menentang Toulouse pada 30 Ogos lalu susulan masalah hamstring kanan.

Kesatuan Pemain Perancis (UNFP) mengkritik badan induk dunia FIFA kerana apa yang disifatkan sebagai kalendar antarabangsa yang cuai dan membahayakan kesihatan pemain, sambil menyatakan Dembele dan Doue antara beberapa pemain yang mengalami kecederaan sepanjang aksi kelayakan Piala Dunia minggu ini.

Julai lalu, UNFP memfailkan aduan kepada Jawatankuasa Hak Sosial Eropah dengan alasan kerajaan Perancis mesti campur tangan untuk melindungi hak pemain profesional mendapatkan rehat mencukupi. – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here