Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Penerangan (JaPen) Kelantan terus giat memperkasakan hebahan berkenaan pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) agar tiada rakyat tercicir daripada menerima maklumat mengenai bantuan tersebut.
Menurut Pengarah JaPen Kelantan, Muhd Nor Aswadi Md. Nor, masih terdapat segelintir masyarakat yang masih belum mengetahui inisiatif yang diumumkan kerajaan 31 Ogos lalu.
“Namun begitu, sambutan rakyat sangat menggalakkan malah, permintaan yang tinggi terhadap inisiatif ini menyebabkan sistem pembayaran di pasar raya perlu ditambah baik bagi menampung keperluan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 yang berlangsung di Wisma Persekutuan, Kota Bharu, pada Ahad.
Tambah beliau, pihak JaPen Kelantan bersama agensi lain memainkan peranan menyampaikan maklumat yang tepat dan jelas kepada masyarakat melalui pelbagai medium termasuk media sosial, hebahan secara bersemuka dan unit bergerak Input On Wheels (IOW).
Katanya kempen kesedaran berhubung SARA akan diteruskan sepanjang HKHM 2025 menerusi 135 program anjuran JaPen Kelantan, bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir dalam tempoh pelaksanaan yang berlangsung selama empat bulan, bermula 31 Ogos hingga 31 Disember 2025.
“Inisiatif khas ini benar-benar menyentuh hati rakyat, dan kita dapat lihat bagaimana tema Malaysia MADANI turut sampai ke akar umbi,” jelasnya.
Untuk makluman, SARA diberikan kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas, membabitkan semua kategori termasuk B40, M40 dan T20 serta boleh ditebus menggunakan MyKad di pasar raya terpilih.
IMedikel TV






