Home Luar Negara WANITA THAILAND JUAL ANAK JADI PELACUR DI TOKYO DI PENJARA

WANITA THAILAND JUAL ANAK JADI PELACUR DI TOKYO DI PENJARA

24
0

BANGKOK: Sebuah mahkamah jenayah di Thailand menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun enam bulan terhadap seorang wanita kerana memperdagangkan anak perempuan bawah umur untuk tujuan eksploitasi seks di sebuah rumah urut di Tokyo, Jepun.

Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, mahkamah memaklumkan, tertuduh membawa mangsa yang ketika itu berusia 12 tahun memasuki Jepun pada Jun tahun lalu atas alasan mahu melancong, sebelum meninggalkan kanak-kanak berkenaan di premis terbabit.

Kes menyayat hati itu mula terbongkar pada September tahun lalu selepas mangsa melarikan diri dan meminta bantuan Biro Perkhidmatan Imigresen Wilayah Tokyo.

Polis Thailand berkata, hasil soal siasat mendapati tertuduh mengaku mencapai persetujuan dengan bekas pengendali rumah urut berkenaan untuk membiarkan anaknya bekerja di situ.

Berdasarkan rekod mahkamah, tertuduh tidak mempunyai sabitan jenayah lampau namun pernah bekerja sebagai tukang urut di luar negara secara jangka pendek antara 14 hingga 19 hari, dengan meraih pendapatan 50,000 hingga 80,000 baht iaitu RM6,100 hingga RM9,800 bagi setiap perjalanan. 

Tertuduh ditahan pihak berkuasa di Taiwan pada September tahun lalu kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pelacuran, sebelum dihantar pulang ke Thailand pada Disember untuk menghadapi pertuduhan. 

Sementara itu, mangsa yang meluahkan hasrat kepada pekerja kebajikan Jepun untuk pulang ke tanah air dan menyambung persekolahan.

Mangsa dihantar pulang ke Thailand pada Disember lalu dan kini berada di bawah perlindungan sebuah organisasi sokongan.

Dalam perkembangan sama, polis Tokyo menahan seorang lelaki tempatan, Hosono Masayuki, kerana disyaki memaksa mangsa menyediakan perkhidmatan seks di rumah urut miliknya.

Menurut laporan agensi berita antarabangsa NHK, polis mendakwa Masayuki mengambil kanak-kanak terbabit bekerja selama sebulan antara Jun dan Julai tahun lalu, malah mangsa dipercayai antara mangsa pemerdagangan manusia termuda dikesan di Jepun setakat ini.

Media tempatan melaporkan, mangsa dijanjikan bayaran 600,000 yen (kira-kira RM16,800) sepanjang tempoh sebulan itu, namun wang berkenaan dipindahkan ke akaun individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan ibu mangsa.

Penyiasat Jepun mendedahkan, mangsa yang tidak boleh berbahasa Jepun dipaksa tinggal di ruang dapur premis berkenaan dan dipaksa melayan kira-kira 60 pelanggan sepanjang tempoh dia dikurung. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here