Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
BACHOK: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang Wanita dipercayai menyimpan tiga spesis burung tanpa kebenaran di Kampung Dusun Durian Tawang, di sini, pada Selasa.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata tangkapan dan rampasan dilakukan sepasukan anggota BN 7 PGA bersama pasukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) pada jam lebih kurang 5.45 petang apabila membuat serbuan ke atas sebuah premis dalam Op Bersepadu Khazanah.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 11 ekor burung Murai Batu, seekor burung Luris Leher dan 7 ekor burung Kunyit Pacat ditemui dalam premis tersebut tanpa dokumen penyimpanan rasmi daripada PERHILITAN,”katanya dalam suatu kenyataan.
Suspek berumur 25 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Anggaran nilai rampasan bernilai hampir RM39,750 dan kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Bachok untuk tindakan selanjutnya.
IMedikel TV






